Gandingan beregu campuran bebas (independent), Goh Soon Huat dan Shevon Jemie Lai terpaksa mengucapkan selamat tinggal kepada program Road To Gold (RTG). Turut sama mengikuti jejak langkah itu adalah sepasang lagi beregu campuran iaitu Tan Kian Meng dan Lai Pei Jing.
Ini selepas Jawatankuasa RTG yang bermesyuarat di Majlis Sukan Negara (MSN) pada hari ini membuat pertimbangan untuk mengeluarkan kedua-dua beregu campuran ini berikutan prestasi semasa mereka menunjukkan penurunan berdasarkan senarai Kelayakan Ke Olimpik.
Berdasarkan kedudukan ranking Kelayakan Olimpik – Perlumbaan Ke Paris (Race To Paris – Olympic Qualification), Soon Huat-Jemie Lai kini berada di kedudukan ke-16 sementara Kian Meng-Pei Jing pula berada di tangga ke-24.
Difahamkan, Jawatankuasa RTG akan menyemak semula keputusan mengenai kemasukan mereka sekiranya kedua-dua pasangan ini mengubah nasib mereka samada menerusi menjadi beregu terbaik negara dalam kelompok lapan teratas atau layak sebagai beregu Malaysia dengan kedudukan tertinggi kelompok 16 teratas dalam ranking Perlumbaan Ke Paris.
Sementara itu, skuad hoki lelaki negara turut menerima nasib yang sama disingkirkan daripada program RTG.
Ini berikutan skuad berjulukan Speedy Tigers gagal memenangi pingat emas di Sukan Asia 2022 baru-baru ini yang menjadi tiket ke Sukan Olimpik Paris 2024 selain terjatuh ke tangga ke-12 dunia.
Bagaimanapun, Jawatankuasa RTG bersetuju untuk memasukkan semula skuad hoki lelaki dalam program ini sekiranya mereka layak ke Sukan Olimpik Paris pada kelayakan Olimpik yang seterusnya di Muscat, Oman pada 15-21 Januari 2024 atau di Valencia, Sepanyol dari 12 hingga 21 Januari 2024.
Featured Image: Perodua Malaysia Masters 2023