Artikel

Aniq Kasdan Atlet Baharu Sertai Program RTG

Atlet angkat berat negara, Mohamad Aniq Kasdan menjadi atlet terbaru dipilih menyertai Program Road To Gold (RTG) – sebuah program untuk membantu atlet membutirkan pingat emas di Sukan Olimpik.

Jawatankuasa RTG memutuskan untuk memasukkan atlet yang bertanding dalam kategori 61 kilogram (kg) kelahiran Johor terbabit selepas mengadakan mesyuarat di Majlis Sukan Negara (MSN) pada hari ini.

Difahamkan Aniq dipilih setelah memenuhi sebahagian daripada kriteria RTG iaitu berada di kedudukan kesepuluh dalam ranking Olimpik selain umurnya yang masih muda iaitu 21 tahun.

Sebagai rekod, rekod peribadi terbaik Aniq setakat ini adalah 291kg. Ianya hanya kurang 3kg jika dibandingkan dengan angkatan yang dilakukan oleh pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik 2020 iaitu seberat 294kg.

Kemasukan Aniq menjadikan Program RTG kini terdiri dibarisi 15 atlet iaitu Dato’ Muhammad Azizulhasni Awang, Muhammad Shah Firdaus Sahrom (berbasikal), Dato’ Pandelela Rinong, Nur Dhabitah Sabri (terjun), Lee Zii Jia, Ng Tze Yong, Aaron Chia & Soh Wooi Yik, Ong Yew Sin & Teo Ee Yi, Pearly Tan & Thinaah Muralitharan serta Chen Tang Jie & Toh Ee Wei (badminton).

Sementara itu, mesyuarat Jawatankuasa RTG pada hari ini turut membuat keputusan untuk menyingkirkan gandingan Goh Soon Huat & Shevon Jemie Lai, Tan Kian Meng & Lai Pei Jing serta skuad hoki lelaki kebangsaan.

Featured Image: Majlis Sukan Negara Malaysia

komen