PETRONAS Dapat Hak Penamaan Litar Antarabangsa Sepang Selama 3 Tahun
October 31, 2023 Hafizuddin Omar

Litar kebanggaan negara iaitu Litar Antarabangsa Sepang (SIC) kini dikenali dengan nama baharu iaitu Litar Antarabangsa Sepang PETRONAS (PETRONAS Sepang International Circuit).

Ini selepas SIC memuktamadkan kerjasama hak penamaan yang bersejarah bersama syarikat minyak dan gas gergasi tanah air, PETRONAS selama tiga tahun bermula hari ini.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) SIC, Azhan Shafriman Hanif percaya kerjasama ini akan memberikan impak yang lebih kepada lanskap perlumbaan, lebih banyak jenana-jenama akan mengambil peluang terhadap nilai tambah kepada perniagaan-perniagaan dan pelanggan SIC serta PETRONAS.

Sementara itu, Pengurus Besar Kanan Komunikasi Strategik Kumpulan PETRONAS, Datin Anita Azrina Abdul Aziz berkata kerjasama ini melangkaui hak penamaan – menandakan komitmennya untuk mempromosikan acara berkelas dunia, menggalakkan pembangunan bakat serta mempamerkan kemampuan negara kita di pentas antarabangsa.

Difahamkan, kerjasama antara SIC dan PETRONAS mewakili perkongsian visi – komitmen kecemerlangan, inovasi, memberikan pengalaman luar biasa kepada peminat tempatan dan antarabangsa, penggemar dan pelawat dengan tujuan untuk mengangkat lebih tinggi martabat Malaysia sebagai destinasi untuk sukan dan hiburan.

Sebagai tambahan, penggunaan nama baharu bagi litar ini bermula serta-merta, kira-kira dua minggu sebelum bermula perlumbaan Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP) Grand Prix  Malaysia 2023 yang akan berlangsung dari 10 hingga 12 November kelak.

Komen