Artikel

Pemenang Emas Sukan Asia 2022 Tidak Tersenarai Dalam Program RTG

Tidak ada seorang pun atlet-atlet yang memenangi pingat emas di temasya Sukan Asia 2022 baru-baru ini dimasukkan ke dalam program Road To Gold.

Perkembangan itu hadir selepas Jawatankuasa RTG bermesyuarat di Majlis Sukan Negara (MSN) membincangkan status atlet-atlet tersebut pada hari ini. 

Bagi Nur Shazrin Latif merangkap atlet pelayaran negara yang memenangi pingat emas menerusi acara women’s single dinghy – ILCA 6,  Jawatankuasa RTG bertindak mengekalkannya dalam Program Podium.

Namun begitu, atlet berusia 25 tahun kelahiran Pekan, Pahang ini akan menerima insentif tambahan untuk kelayakannya di Sukan Olimpik melalui Skim Insentif Sukan Olimpik (SISO).

Program Podium akan turut menyokong sepenuhnya Shazrin melibatkan penginapan, makanan, perlindungan kos pertandingan, peralatan, pemakanan dan juga perkhidmatan perubatan & sains sukan daripada MSN dan Institut Sukan Negara (ISN).

Sementara itu, Muhammad Arif Arifudin, atlet karate yang merangkul emas menerusi acara kumite lelaki bawah 84kg pula tidak disenaraikan dalam Program RTG kerana bukan sebahagian daripada sukan yang dipertandingkan di Sukan Olimpik Paris 2024.

Bagaimanapun, elaun bulanannya di bawah Program Podium akan dinaikkan dan terus menerima semua latihan, pertandingan dan sokongan sains sukan & perubatan seperti yang disediakan oleh MSN dan ISN setakat ini.

Manakala atlet ekuestrian, Mohd Qabil Ambak Mahamad Fathil yang merangkul pingat emas menerusi acara dressage pula tidak disenaraikan ke dalam program RTG kerana tidak akan bertanding di Sukan Olimpik selepas terlepas beberapa acara kelayakan sebelum ini.

Manakala baki tiga emas lagi di Sukan Asia 2022 dimenangi oleh atlet skuasy menerusi Sivasangari Subramaniam (perseorangan wanita), Ng Eain Yow (perseorangan lelaki) dan pasukan wanita dimana sukan skuasy hanya akan dipertandingkan pada temasya Olimpik edisi 2028 di Los Angeles.

Difahamkan, atlet-atlet skuasy akan dimasukkan ke dalam program RTG bagi Sukan Olimpik 2028 selepas satu pelan srategik dan kolektif dibangunkan oleh bekas ratu skuasy negara merangkap Timbalan Chef de Mission Sukan Olimpik Paris, Datuk Nicol Ann David dengan kerjasama semua pihak berkepentingan.

Featured Image: Instagram Shazrin Latif

komen