KL Masters: Aidil, Letshanaa Melangkah Ke Pusingan 16
November 1, 2023 Hafizuddin Omar

Aidil Sholeh yang menjuarai Cabaran Antarabangsa Indonesia 2023 sekitar dua minggu lalu antara pemain yang berjaya melangkah ke pusingan 16 dalam saingan KL Masters 2023 yang berlangsung di Stadium Titiwangsa, Kuala Lumpur pada minggu ini.

Pemain berusia 23 tahun yang menghuni ranking ke-88 dunia tersebut melakar kemaraan itu selepas menumpaskan lawannya dari Chinese Taipei, Huang Yu Kai di pusingan 32, sebentar tadi.

Dalam pertarungan tersebut, Aidil meraih kemenangan ke atas pemain pilihan keempat kejohanan secara “straight set” menerusi skor 21-15 dan 21-12 dalam tempoh masa 33 minit permainan.

Kemenangan itu membawanya bertemu pemain Korea, Cho Geonyeop di pusingan 16 pada hari esok bagi merebut tiket ke peringkat suku akhir.

Sementara itu, perseorangan wanita negara, Letshanaa Karupathevan turut sama mengikuti jejak langkah ke pusingan 16 apabila dengan mudahnya menumpaskan pemain dari Mesir, Nour Ahmed Youssri.

Letshanaa yang berusia 20 tahun menumpaskan pemain yang menghuni ranking ke-121 dunia itu secara “straight set” menerusi skor 21-7 dan 21-13 dalam tempoh masa 23 minit permainan.

Pusingan seterusnya, Letshanaa akan turun berhadapan pemain Chinese Taipei, Hung Yu-Ting yang berada di ranking ke-141 dunia.

Featured Image: Badminton Association of Malaysia

Komen