Jaguh beregu lelaki tanah air, Aaron Chia dan Soh Wooi Yik kembali menghuni ranking kedua dunia buat julung kalinya selepas lebih lima bulan.
Pasangan yang menjuarai Terbuka Denmark 2023 sekitar dua minggu lalu kembali ke kedudukan tersebut selepas Persekutuan Badminton Dunia (BWF) melakukan kemaskini terhadap Ranking Dunia, semalam.
Kemaskini itu memperlihatkan Aaron-Wooi Yik kini mengumpul 88,164 mata yang membolehkan mereka melonjak sebanyak satu anak tangga berbanding kedudukan yang dihuni pada minggu lalu.
Sebagai rekod, kali terakhir Aaron Wooi-Yik dilihat menghuni ranking kedua dunia adalah pada 23 Mei lalu.
Bagaimanapun, kemaskini oleh BWF tersebut memperlihatkan beregu lelaki kedua negara, Ong Yew Sin dan Teo Ee Yi julung kalinya terkeluar kelompok 10 terbaik buat julung kalinya sejak penghujung Mei 2022.
Yew Sin-Ee Yi kini menghuni ranking kesebelas dunia apabila mencatatkan penurunan dua anak tangga berbanding minggu lalu.
Sementara itu, beregu lelaki ketiga negara, Man Wei Chong dan Tee Kai Wun turut sama mencatatkan penurunan dua anak tangga dan kini berada di tangga ke-22 dunia.
Manakala Goh Sze Fei dan Nur Izzuddin pula menghuni ranking ke-24 dunia selepas jatuh sebanyak satu anak tangga.
Featured Image: Badminton Association of Malaysia