Final Piala MFL: Skuad Simpanan TFC, JDT Rebut RM500,000 Di Stadium Cheras
November 2, 2023 Hafizuddin Omar

Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras menjadi gelanggang pertembungan akhir bagi merebut trofi kejuaraan edisi pertama Piala MFL – liga simpanan bawah 23 tahun.

Pertembungan akhir itu akan melibatkan skuad Terengganu FC II (TFC II) didikan Hairuddin Omar dan Johor Darul Ta’zim II (JDT II) bimbingan Mariano Raul selepas menamatkan saingan Liga Juara Piala MFL di tempat pertama dan kedua masing-masing.

Pengumuman pemilihan venue berkecuali itu diumumkan oleh penganjur, Malaysian Football League (MFL) menerusi satu kenyataan rasmi pada hari ini.

Turut dimaklumkan, ianya dijadualkan berlangsung pada 11 November (Sabtu) dengan sepak mula pada jam 8.15 malam. 

Sementara itu, penjualan tiket bagi perlawanan akhir ini belum diputuskan dan akan dimaklumkan selepas MFL mengadakan perbincangan dengan kedua-dua kelab tersebut.

Sebagai tambahan, pemenang edisi pertama Piala MFL ini akan meraih RM500,000 berserta trofi kejuaraan manakala naib juara pula akan membawa pulang RM250,000.

Komen