Artikel

Piala Malaysia: JDT Ke Perlawanan Akhir Dengan Agregat 12-2

Gergasi bola sepak tanah air, Johor Darul Ta’zim (JDT) berjaya melangkah ke perlawanan akhir Piala Malaysia dengan bergaya sekaligs berpeluang untuk mempertahankan kejuaraan yang dimenanginya itu pada tahun lalu.

Skuad berjulukan Harimau Selatan bimbingan Esteban Solari mengesahkan kemaraan tersebut selepas menundukkan Perak FC dengan keputusan 8-1 dalam peringkat separuh akhir kedua yang berlangsung di Stadium Sultan Ibrahim (SSI), Iskandar Puteri semalam.

Keputusan itu hadir menerusi jaringan berganda oleh Bergson da Silva (27’, 59’), Heberty Fernandes (31’, 90’+1), Syafiq Ahmad (61’, 77’) serta satu gol daripada Arif Aiman (11’) dan Fernando Forestieri (52’) masing-masing.

Sementara itu, jaringan saguhati daripada skuad berjulukan The Bos Gaurus didikan Yusri Che Lah pula hadir menerusi Firdaus Fuad pada penghujung permainan iaitu minit 90’+2.

Pada pertembungan separuh akhir pertama yang berlangsung sekitar dua minggu lalu, JDT berhasil melakar kemenangan dengan keputusan 4-1 dalam perlawanan yang berlangsung di Stadium Perak, Ipoh.

Dalam perlawanan tersebut, jaringan-jaringan JDT selaku pasukan pelawat dijelmakan oleh Oscar Arribas (7’), Arif Aiman (12’), Shahrul Saad (71’) dan Nazmi Faiz (80’). Manakala gol tunggal tuan rumah pula disumbangkan oleh Luciano Guaycoachea (76’).

Di perlawanan akhir, JDT akan menantikan cabaran samada daripada Kuala Lumpur City FC (KL City) atau Terengganu FC untuk merebut gelaran juara bagi edisi kali ini.

Kedua-dua pasukan tersebut akan berentap dalam perlawanan separuh akhir kedua malam nanti di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA), Gong Badak.

Pada ketika ini, Terengganu FC sedang mendahului KL City dengan agregat 2-1.

Featured Image: JOHOR Southern Tigers

komen