Artikel

Terbuka HYLO: Angkara Beregu No.5 China, Yew Sin-Ee Yi Kandas Di Pusingan 16

Perjalanan beregu lelaki No.2 tanah air, Ong Yew Sin dan Teo Ee Yi berakhir di pusingan 16 dalam saingan Terbuka HYLO 2023 – Jelajah Dunia BWF bertaraf Super 300.

Ianya gara-gara Yew Sin-Ee Yi tumpas di tangan beregu No.5 China, Chen Bo Yang dan Liu Yi ketika berentap di pusingan 16, semalam.

Dalam pertarungan tersebut, Yew Sin-Ee Yi yang turun selaku pilihan ketiga kejohanan terpaksa akur tumpas kepada pasangan yang berada di ranking ke-30 dunia terbabit secara “straight set” menerusi skor 12-21 dan 19-21.

Gandingan China itu juga tidak mengambil masa yang lama untuk menoktahkan permainan tersebut dan berhasil menamatkannya dalam tempoh masa 33 minit sahaja.

Sebagai rekod, ini merupakan pertemuan sulung melibatkan kedua-dua pasangan di pentas antarabangsa.

Bagi Yew Sin-Ee Yi, kekalahan ini bermakna mereka telah gagal mara ke peringkat suku akhir dalam kedua-dua kejohanan yang mereka sertai berturut-turut selepas tersingkir pada pusingan 32 di Terbuka Perancis, minggu lalu.

Sementara itu, gandingan Chen-Liu akan beradu kehebatan dengan pasangan Denmark, Andreas Sondergaard dan Jesper Toft yang berada di ranking ke-55 dunia di peringkat suku akhir.

Featured Image: Badminton Association of Malaysia

komen