Pan-gon Mahu Aksi Lawan Kyrgyzstan Di SNBJ, Keadaan Padang Bertambah Baik
November 3, 2023 Hafizuddin Omar

Ketua jurulatih skuad bola sepak kebangsaan, Kim Pan-gon mengharapkan perlawanan menentang Republik Kyrgyzstan (ranking 97) pada aksi pertama Kumpulan D dalam Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 pada 16 November kelak berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ).

Menurutnya, para pemain termasuk penyokong sudah biasa dengan suasana di stadium berkapasiti sekitar 87,000 tempat duduk itu sekaligus menjadikannya sebagai kubu kuat bagi skuad kebangsaan berjulukan Harimau Malaya.

Seperti banyak diperkatakan sebelum ini, padang di SNBJ dikritik oleh orang ramai khususnya para peminat dan penyokong kerana rumput jenis zeon zoysia yang ditanam terkopak ketika perlawanan menentang India dan Tajikistan pada Pesta Bola Merdeka bulan lepas.

Perkara tersebut terjadi berikutan rumput itu memerlukan lebih masa agar akarnya lebih kuat dan matang sekaligus mengelakkan daripada terkopak mahupun tercabut ketika menggunakan padang tersebut.

Namun begitu, Pan-gon memaklumkan keadaan padang telah bertambah baik berbanding ketika berlangsungnya Pesta Bola Merdeka selepas melakukan tinjauan bersama Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) semalam.

Kami mendapati bahawa keadaan padang adalah bertambah baik berbanding ketika Pesta Bola Merdeka, bulan lepas.

“Dari segi teknikal, keadaan padang di Stadium Nasional pasti akan lebih baik menjelang tempoh dua minggu yang akan datang ini. 

Walaupun bukanlah 100 peratus, cukup untuk kita bermain di atas permukaan yang lebih baik berbanding sebelum ini.

“Lagipun untuk aksi bertemu Republik Kyrgyz ini hanyalah satu perlawanan, sebelum kami terbang ke Chinese Taipei untuk perlawanan kedua pada 21 November.” katanya seperti dikongsikan pelbagai platform media sosial milik FAM, hari ini.

Pada masa yang sama, penggunaan SNBJ juga akan memudahkan urusan kehadiran penyokong kerana ianya terletak di Lembah Klang serta mengurangkan tempoh perjalanan skuad Harimau Malaya berbanding jika beraksi di gelanggang yang terletak di luar Lembah Klang.

“ Harapan saya, perlawanan 16 November ini akan kekal berlangsung di Bukit Jalil dan saya juga menyeru para penyokong Harimau Malaya dapat datang beramai-ramai memberikan sokongan kepada pasukan kita bagi memanfaatkan kelebihan beraksi di gelanggang sendiri.” tambahnya lagi.

Featured Image: Football Association of Malaysia

Komen