Azeem, Shereen Terima Pingat Jasa Kebaktian Sempena Keputeraan Sultan Perak
November 3, 2023 Hafizuddin Omar

Pelari pecut negara kelahiran Teluk Intan, Perak iaitu Muhammad Azeem Mohd Fahmi tersenarai dalam kalangan 238 penerima Darjah Kebesaran dan Pingat Negeri Perak sempena Sambutan Ulang Tahun Keputeraan Ke-67 DYMM Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah, hari ini.

Dimaklumkan, Azeem yang berusia 19 tahun yang membawa pulang pingat gangsa dalam acara pecut 100 meter (m) di temasya Sukan Asia akan dikurniakan oleh baginda anugerah Pingat Jasa Kebaktian (PJK).

Selain itu, pelari pecut dan jarak sederhana wanita negara, Shereen Samson Vallobouy, 25 tahun yang meraih pingat gangsa dalam acara 400m serta 4x100m serta atlet terjun, Muhd Syafiq Puteh, 28 tahun yang merangkul pingat gangsa daripada acara terjun 3m papan anjal seirama turut sama tersenarai sebagai penerima anugerah yang sama.

Menurut YABhg. Orang Kaya Bendahara Seri Maharaja, Jeneral Dato’ DiRaja Tan Sri (Dr.) Mohd. Zaidi Haji Zainuddin (bersara), baginda berkenan mengurniakan PJK kepada Azeem, Shereen dan Shafiq kerana berjaya memenangi pingat di Sukan Asia 2022 yang berlangsung di Hangzhou, China baru-baru ini.

Sementara itu, Presiden Persatuan Hoki Perak, Mohd Saiyuti Abd Samat tersenarai dalam kalangan 13 individu penerima Darjah Dato’ Paduka Mahkota Perak (DPMP) yang membawa gelaran Dato’.

Tambahnya lagi, istiadat Penganugerahan Darjah Kebesaran dan Pingat-Pingat Negeri Perak akan diadakan sebanyak dua sesi.

Sesi pertama melibatkan penganugerahan Darjah Kebesaran yang membawa gelaran yang akan dilangsungkan pada 5 November (Ahad). Manakala sesi kedua pula dilangsungkan pada 18 November (Sabtu). 

Kedua-dua istiadat ini akan diadakan di Balairong Seri, Istana Iskandariah, Kuala Kangsar.

Featured Image: Facebook Maljlis Sukan Negara Malaysia

Komen