Piala Malaysia: Ivan Mamut Pacu Terengganu Ke Pentas Akhir
November 4, 2023 Hafizuddin Omar

Penyerang Croatia, Ivan Mamut menjadi hero buat pasukannya apabila dua jaringan dihasilkannya pada perlawanan menentang Kuala Lumpur City FC (KL City) di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA) mengesahkan Terengganu FC ke perlawanan akhir Piala Malaysia 2023.

Pemain berusia 26 tahun ini tampil menjaringkan dua gol cantik pada minit 42’ dan 67’ masing-masing sekaligus membolehkan Terengganu menamatkan perlawanan separuh akhir timbal balik Piala Malaysia ini dengan keputusan 2-1.

Sementara itu, pasukan pelawat bimbingan Nenad Bacina pula berhasil menjaringkan gol tunggalnya pada minit 51’ di hadapan 25,221 penonton menerusi penyerang import dari Colombia, Romel Morales.

Keputusan itu menjadikan Terengganu berjaya merakamkan kemenangan 4-2 secara agregat ke atas KL City pada peringkat separuh akhir ini.

Ketika beraksi dalam perlawanan separuh akhir pertama yang berlangsung di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras pada 21 Oktober lalu, KL City turut tumpas dengan keputusan 1-2.

Dalam perlawanan tersebut, Ivan turut menyumbangkan satu gol pada penghujung separuh masa pertama disamping Nik Muhammad Sharif Haseefy menggandakannya pada penghujung separuh masa kedua.

Manakala gol tunggal oleh KL City pula dijelmakan oleh pemain import dari Ivory Coast, Tchetche Kipre pada pada masa kecederaan.

Di perlawanan akhir kelak, Terengganu didikan Tomislav Steinbruckner akan berhadapan juara bertahan, Johor Darul Ta’zim (JDT) bagi merebut gelaran juara Piala Malaysia 2023.

Featured Image: Terengganu FC

Komen