Artikel

Pasukan Liga Super Wajib Hantar Skuad Piala Presiden & Piala Belia Musim Depan

Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) membuat ketetapan kesemua pasukan yang beraksi dalam kancah Liga Super 2024 wajib mempunyai skuad bawah 20 tahun (B-20) dan bawah 18 tahun (B-18). 

Kedua-dua pasukan ini wajib dihantar untuk menyertai saingan Piala Presiden dan Piala Belia pada musim hadapan.

Ketetapan itu dibuat oleh FAM selepas Jawatankuasa Eksekutif bermesyuarat buat kali kesembilan bagi penggal 2021-2025 di Wisma FAM, semalam.

Pada masa yang sama, FAM turut mengumumkan kejohanan Piala Presiden dijadualkan bermula dari Februari hingga Ogos 2024. 

Sementara itu, Piala Belia pula akan dimulakan dari April hingga September 2024 bagi mengelakkan bertembung dengan kalendar peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Difahamkan, FAM membuat ketetapan ini agar tidak mengetepikan pembangunan akar umbi sekaligus dapat melahirkan pemain-pemain di masa depan. 

Untuk makluman semua, FAM pernah memaklumkan terdapat beberapa pasukan yang beraksi dalam kancah Liga Super menyerahkan skuad-skuad pelapis ini untuk diuruskan oleh Persatuan Bola Sepak (FA) Negeri.

Antara alasan yang diberikan adalah pihak FA Negeri kekurangan aktiviti untuk dijalankan terutamanya selepas berlakunya penswastaan kelab.

Selain daripada dua skuad pelapis ini, setiap pasukan yang beraksi dalam kancah Liga Super turut diwajibkan oleh penganjur, Malaysian Football League (MFL) untuk mengadakan skuad bawah 23 tahun (B-23) bagi beraksi dalam saingan Piala MFL.

Featured Image: Football Association of Malaysia

komen