Tiket Malaysia vs Kyrgyzstan Mula Dijual Hari Ini – Setiap RM2 Akan Ke Tabung Palestin
November 7, 2023 Hafizuddin Omar

Tiket bagi perlawanan antara Malaysia dan Republik Kyrgyzstan untuk perlawanan peringkat Kumpulan D dalam Pusingan 2 Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 mula dijual pada hari ini.

Sebanyak tiga kategori tiket; Terbuka, Grandstand dan Premium ditawarkan kepada para peminat untuk menyaksikan skuad kebangsaan berjulukan Harimau malaya beraksi di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) pada 16 November (Khamis) nanti.

Jawatankuasa Eksekutif FAM yang bermesyuarat semalam bersetuju dengan penetapan harga bagi setiap kategori tersebut iaitu RM40, RM60 dan RM80 masing-masing. Manakala harga tiket Terbuka bagi kanak-kanak (6-12 tahun) pula adalah RM5.

Untuk makluman, harga yang dinyatakan di atas tidak termasuk caj pemprosesan dan fi-fi lain yang berkaitan.

Kesemua penjualan tiket ini adalah sepenuhnya secara dalam talian di laman sesawang; www.tickethotline.com.my dan tiada sebarang penjualan tiket secara fizikal di kaunter tiket stadium atau mana-mana premis.

FAM menjelaskan penetapan harga tiket tersebut diputuskan oleh Jawatankuasa Tiket dan Stadium FAM selepas mengambil kira pelbagai faktor termasuk peningkatan semasa kos-kos berkaitan iaitu melibatkan kos pengurusan dan penganjuran perlawanan.

Selain itu, penetapan harga RM40 bagi kategori Terbuka adalah berdasarkan taraf perlawanan Kelayakan Piala Dunia/Piala Asia yang pastinya berbeza dengan Perlawanan Antarabangsa Tier 1 yang dijual pada harga RM30 bagi kategori Terbuka.

Pada masa yang sama, FAM menetapkan RM1 serta RM2 daripada setiap penjualan tiket ini akan disumbangkan ke tabung Kempen Selamatkan Harimau Malaya dan tabung Palestin yang berdepan dengan konflik terutamanya di Gaza pada ketika ini masing-masing.

Featured Image: Football Association of Malaysia

Komen