Kelibat jaguh perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia tidak akan kelihatan di kejohanan Korea Masters 2023 yang berlangsung dari 7 hingga 12 November di Gwangju, Republik Korea.
Ini selepas pemain berusia 25 tahun terbabit membuat keputusan menarik diri daripada menyertai kejohanan Jelajah Dunia BWF bertaraf Super 300 terbabit.
Keputusan itu dibuat selepas pemain yang menghuni ranking kesebelas dunia ini mendapat nasihat daripada doktor dan pakar fizikalnya yang menyarankannya untuk berehat dengan lebih lama sebelum menyertai kejohanan akan datang.
“Tiada apa-apa yang serius perlu dibimbangkan, terima kasih atas ucapan dan jumpa anda semua nanti,” tulis kenyataan yang dikongsikan menerusi platform Team LZJ.
View this post on Instagram
Penarikan diri ini menyaksikan tiada pertembungan melibatkan Zii Jia menentang bekas pemain No.1 dunia dari Jepun, Kento Momota di kejohanan tersebut.
Berdasarkan kepada undian awal, Zii Jia akan bertemu Momota seawal pusingan 32 bagi merebut tiket kemaraan ke pusingan 16.
Kekosongan yang ditinggalkan oleh Zii Jia itu diisi dengan pemain Chinese Taipei, Wang Po-Wei.
Untuk makluman semua, Zii Jia telah beraksi dalam empat kejohanan berturut-turut pada setiap minggu bermula awal Oktober lalu.
Ianya bermula dengan temasya Sukan Asia (2-7 Oktober) diikuti dengan Terbuka Arctic (10-15 Oktober), Terbuka Denmark (17-22 Oktober) dan Terbuka Perancis (24-29 Oktober).
Daripada empat kejohanan yang disertainya itu, Zii Jia berhasil merangkul kejuaraan di Terbuka Arctic disamping bergelar naib juara di Terbuka Denmark.
Featured Image: Badminton Association of Malaysia