Ranking BWF: Juara KL Masters Lonjak 5 Anak Tangga
November 7, 2023 Hafizuddin Omar

Pemain negara yang muncul juara KL Masters 2023 pada Ahad lalu, Leong Jun Hao berjaya memperbaiki kedudukannya dalam Ranking Dunia pada minggu ini.

Menerusi kemaskini oleh Persekutuan Badminton Dunia (BWF) pada hari ini, pemain berusia 24 tahun terbabit dilihat melakukan lonjakan sebanyak lima anak tangga sekaligus menghuni ranking ke-38 dunia.

Kejuaraan KL Masters – Jelajah BWF bertaraf Super 100 – yang dirangkulnya itu telah memberikannya tambahan sebanyak 5,500 mata sememangnya menjadi asbab yang ketara terhadap peningkatan tersebut.

Sebagai rekod, Jun Hao pada ketika ini telah mengumpul 34,648 mata secara keseluruhan.

Sementara itu, Aidil Sholeh yang terkandas di peringkat separuh akhir dalam kejohanan yang sama mencatatkan lonjakan sebanyak 14 anak tangga sekaligus menghuni ranking ke-74 dunia.

Manakala tiada perubahan dikesan melibatkan jaguh perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia dan pemain No.2 tanah air, Ng Tze Yong.

Kedua-dua pemain terbabit kekal di tangga kesebelas dan ke-15 masing-masing pada minggu ini.

Featured Image: Badminton Association of Malaysia

Komen