Bekas penyerang skuad kebangsaan, Akmal Rizal Ahmad Rakhli yang membimbing skuad bawah 23 tahun (B-23) Penang FC kini diberikan tanggungjawab untuk mengemudi skuad senior Penang FC.
Pihak pengurusan Penang FC memaklumkan jurulatih berusia 41 tahun ini diberikan berperanan selaku ketua jurulatih sementara (caretaker) bagi membimbing Penang FC menghadapi baki tiga perlawanan Liga Super 2023.
Perkembangan itu hadir menerusi satu kenyataan media oleh skuad berjulukan Kumbang Hitam yang dikongsikan di pelbagai platform media sosialnya, malam tadi.
View this post on Instagram
“Semua pengendalian latihan dan penyusunan urusan perlawanan menentang Sri Pahang FC dan Terengganu FC di laman sendiri dan perlawanan terakhir menentang JDT FC akan dikendalikan oleh Akmal Rizal Ahmad Rakhli (caretaker).” tulis kenyataan tersebut.
Perlantikan mengejutkan ini hadir selepas pihak pengurusan bertindak merehatkan ketua jurulatihnya, Chong Yee Fatt dan penolong ketua jurulatih, Manzoor Azwira sehingga selesai saingan Liga Super 2023.
Menurut penjelasan oleh pihak pengurusan, langkah drastik merehatkan kedua-dua individu terbabit dibuat selepas Penang FC gagal melangkah ke perlawanan akhir Piala Cabaran (Challenge Cup) selain prestasi yang membimbangkan dalam saingan Liga Super.
Untuk makluman semua, pada saat ini, Penang FC sedang menghuni tangga kesebelas liga dengan kutipan 20 mata selepas mengharungi 23 perlawanan.
Featured Image: Penang FC