Korea Masters: Tang Jie-Ee Wei Langkah Kanan, Juara KL Masters Kandas
November 8, 2023 Hafizuddin Omar

Beregu campuran No.1 tanah air, Chen Tang Jie dan Toh Ee Wei berhasil bermula dengan langkah kanan dalam kempen Korea Masters 2023.

Gandingan yang menghuni ranking kesepuluh dunia ini mencipta langkah tersebut dengan menumpaskan wakil Chinese Taipei, Chen Zhi Ray dan Yang Ching Tun dalam perlawanan peringkat pusingan 32, sebentar tadi.

Dalam pertembungan itu, Tang Jie-Ee Wei yang diletakkan selaku pilihan keempat kejohanan melakar kemenangan dengan bergaya secara “straight set” menerusi skor 21-19 dan 21-6 dalam tempoh masa 23 minit permainan sahaja.

Di peringkat pusingan 16 kelak, Tang Jie-Ee Wei akan berhadapan samada beregu senegara, Hoo Pang Ron dan Cheng Su Yi atau beregu Korea, Wang Chan dan Shin Seung Chan untuk merebut tiket ke suku akhir. 

Sementara itu, lain pula nasib yang menimpa beregu campuran negara yang baru sahaja memenangi saingan KL Masters pada Ahad lalu, Chan Peng Soon dan Cheah Yee See. 

Gandingan ini terpaksa mengucapkan selamat tinggal kepada saingan Korea Masters apabila tumpas secara “straight set” di tangan beregu Chinese Taipei, Yang Po-hsuan dan Hu Ling Fang di pusingan 32, pagi tadi.

Dalam pertemuan tersebut, Peng Soon-Yee See ditewaskan mudah oleh gandingan No.32 dunia tersebut menerusi skor 11-21 dan 14-21 dalam tempoh masa tidak sampai setengah jam permainan.

Featured Image: Badminton Association of Malaysia

Komen