Korea Masters: Sze Fei-Izzuddin Lepasi Cabaran Pusingan 32
November 8, 2023 Hafizuddin Omar

Beregu lelaki No.4 tanah air, Goh Sze Fei dan Nur Izzuddin berhasil meneruskan kempen dalam saingan Korea Masters 2023 selepas membenam cabaran di pusingan 32, hari ini.

Bagaimanapun, kemenangan itu tidak hadir dengan mudah biarpun berhadapan dengan wakil tuan rumah,  Choi Hyuk-gyun dan Kim Jaehwan yang tidak mempunyai sebarang Ranking Dunia. 

Dalam pertarungan tersebut, Sze Fei-Izzuddin terpaksa mengharungi tiga set permainan terlebih dahulu sebelum mengesahkan kemenangan menerusi skor 21-8, 17-21 dan 21-12 dalam tempoh masa hampir satu jam.

Sementara itu, di pusingan seterusnya bagi kejohanan Jelajah Dunia BWF bertaraf Super 300 ini, Sze Fei-Izzuddin akan berhadapan dengan wakil Chinese Taipei, Chiu Hsiang Chieh dan Yang Ming-Tse untuk merebut tiket ke peringkat suku akhir.

Terdahulu, beregu yang menghuni ranking ke-48 dunia ini mara selepas menumpaskan beregu senegaranya, Chiang Chien-Wei dan Wu Hsuan-Yi menerusi tiga set permainan yang berakhir dengan skor 10-21, 21-17 dan 21-18.

Komen