Beregu campuran No.1 negara, Chen Tang Jie dan Toh Ee Wei menjadi satu lagi wakil negara yang berjaya menjejakkan kaki ke peringkat separuh akhir Korea Masters 2023 selepas Goh Soon Huat dan Shevon Jemie Lai.
Tang Jie-Ee Wei melakar kemaraan tersebut selepas berhasil mengatasi gandingan Chinese Taipei yang menduduki ranking ke-56 dunia, Chiu Hsiang Chieh dan Lin Xiao Min di peringkat suku akhir, sebentar tadi.
Dalam pertarungan itu, Tang Jie-Ee Wei yang diletakkan selaku pilihan keempat kejohanan menumpaskan lawannya secara “straight set” menerusi skor 21-19 dan 21-17 dalam tempoh sekitar setengah jam permainan.
Sebagai rekod, ini menjadi pertemuan kedua melibatkan kedua-dua pasangan ini di pentas antarabangsa.
Kemenangan pada hari ini menjadikan Tang Jie-Ee Wei mengulangi kejayaan menumpaskan Hsiang Chieh-Xiao Min di Terbuka Taipei 2023 pada Jun lalu.
Sementara itu, di peringkat separuh akhir kelak, Tang Jie-Ee Wei akan menghadapi cabaran besar iaitu bertemu beregu Korea yang menghuni ranking keempat dunia, Seo Seung-jae dan Chae Yu-jung untuk merebut tempat ke perlawanan akhir.
Featured Image: Perodua Malaysia Masters 2023