Korea Masters: Jun Hao, Joo Ven Kandas Di Suku Akhir
November 10, 2023 Hafizuddin Omar

Perjalanan perseorangan lelaki negara, Leong Jun Hao dan Soong Joo Ven dalam kejohanan Korea Masters 2023 berakhir di peringkat suku akhir.

Ini selepas kedua-duanya tumpas kepada lawan masing-masing dalam pertarungan di peringkat tersebut, pada hari ini.

Jun Hao yang menjuarai saingan KL Masters pada minggu lalu terlebih dahulu disingkirkan apabila tumpas di tangan pemain China yang berada di ranking ke-57 dunia, Lei Lan Xi.

Pertembungan itu menyaksikan Jun Hao yang menghuni ranking ke-38 dunia ditumpaskan Lan Xi secara “straight set” menerusi skor 14-21 dan 20-22 dalam tempoh permainan yang menghampiri satu jam di atas gelanggang.

Kekalahan itu sekaligus mengekang Jun Hao untuk melakar kemaraan sulung ke peringkat separuh dalam kejohanan Jelajah Dunia BWF pada tahun ini.

Sementara itu, Joo Ven yang berada di ranking ke-79 dunia pula mengalami nasib yang sama apabila tumpas di tangan bekas pemain No.1 dunia, Kento Momota di peringkat yang sama.

Pemain kelahiran negara matahari terbit itu turut berhasil menumpaskan Joo Ven secara “straight set”.

Pertarungan yang memakan masa 43 minit permainan itu menyaksikan Momota menumpaskan Joo Ven menerusi skor 21-16 dan 21-11 sekaligus menempah tiket ke peringkat separuh akhir.

Menariknya, kemenangan dan kemaraan yang dilakar Lan Xi dan Momota pada hari ini membawa mereka bertemu sesama sendiri di peringkat separuh akhir pada hari esok untuk merebut tiket ke perlawanan akhir.

Featured Image: Thailand Open

Komen