Artikel

Kim Pan-gon Tak Mahu Ulas Pemilihan Pemain

Ketua jurulatih kebangsaan, Kim Pan-gon tidak mahu mengulas mengenai mana-mana individu yang dipilih untuk menyertai kem latihan pusat Harimau Malaya bagi menghadapi perlawanan peringkat Kumpulan D dalam Pusingan 2 Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027.

Jurulatih kelahiran Korea ini menegaskan setiap pemain yang dipilih pada kali ini adalah berdasarkan kepada taktikal serta keperluan pasukan untuk menghadapi Kyrgyzstan dan Chinese Taipei kelak.

Bagi Pan-gon, setiap pemain yang dipilih mempunyai kekuatan yang tersendiri dan boleh menyumbang dalam situasi-situasi tertentu yang diperlukan oleh pasukan berdasarkan percaturan yang dimahukannya.

“Saya tak boleh ulas, jika saya mula mengulas tentang seorang pemain, saya perlu ulas mengenai 25 pemain dan juga mengapa saya tak pilih pemain-pemain lain, saya mungkin perlukan dua jam untuk menjelaskan kepada kamu, itu bukan satu perkara yang bagus,” katanya ketika ditemui oleh media pada hari pertama kem latihan skuad kebangsaan, petang tadi.

Pada Isnin lalu, siaran media oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) memperlihatkan senarai 25 pemain yang dipilih Pan-gon untuk menyertai kem latihan pusat skuad kebangsaan yang bermula pada hari ini.

Senarai tersebut turut menyaksikan lima pemain kembali tersenarai iaitu penjaga gol, Sikh izhan Nazrel Sikh Azman; pertahanan tengah, Shahrul Saad; bek kanan, Syahmi Safari; pemain tengah, Afiq Fazail dan pemain sayap naturalisasi, Mohamadou Sumareh.

Penyenaraian semula Sumareh menjadi antara topik yang hangat dibincangkan dalam kalangan penyokong bola sepak tanah air khususnya di ruangan media sosial lebih-lebih lagi dek kekurangan minit permainan bersama kelabnya, Johor Darul Ta’zim (JDT) pada musim ini.

Selain itu, terdapat juga beberapa nama yang sekadar diletakkan dalam Senarai Bersedia mencetuskan tanda tanya oleh para penyokong walaupun telah menampilkan aksi yang cukup memberangsangkan bersama kelab masing-masing.

Untuk makluman, skuad Harimau Malaya akan turun menentang Kygyzstan yang menghuni ranking ke-97 dunia pada 16 November di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) sebelum terbang untuk bertemu Chinese Taipei, ranking ke-152, pada 21 November di tempat lawan.

Featured Image: Football Association of Malaysia

komen