Skuad Terengganu FC II (TFC II) kendalian Hairuddin Omar atau lebih dikenali sebagai Hai-O muncul juara edisi sulung saingan Piala MFL – pertandingan bagi umur bawah 23 tahun (B-23).
Pasukan berpangkalan di pantai timur ini muncul juara selepas berjaya menundukkan Johor Darul Ta’zim II (JDT II) dengan keputusan 1-0 di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras, sebentar tadi.
Keputusan tersebut hadir menerusi jaringan tunggal di penghujung separuh masa kedua oleh pemain gantian, Isa Raman iaitu pada minit ke-88 permainan.
Jaringan tersebut berpunca daripada kesilapan pertahanan JDT II, Ahmad Aysar Hadi yang gagal menampan dengan kemas bola hantaran daripada penjaga gol, Zulhilmi Sharani sekaligus disambar dengan pantas oleh Isa sebelum menjaringkan gol.
Susulan daripada jaringan tersebut, JDT II bimbingan Mariano Raul cuba mengasak untuk mencari jaringan penyamaan.
Bagaimanapun, kedudukan 1-0 tersebut kekal sehingga pengadil perlawanan, Mohd Fusser Mad Sallih meniup wisel menamatkan permainan sekaligus menobatkan TFC II selaku juara edisi sulung bagi saingan Piala MFL.
Hasil daripada kemenangan ini, TFC II turut membawa pulang ganjaran berupa wang tunai berjumlah RM500,000 selain trofi kejuaraan dan medal. Manakala naib juara, JDT II pula meraih wang tunai berjumlah RM250,000.
Sementara itu, pemain tengah TFC II, Muhammad Ubaidullah Shamsul Fazili dipilih sebagai Pemain Terbaik Perlawanan Akhir.
Featured Image: JOHOR Southern Tigers