Tiket Terbuka Malaysia 2024: BAM Lancar Kempen ‘Early Bird’ 15 Nov-15 Dis
November 14, 2023 Hafizuddin Omar

Tiket untuk saingan pembukaan Jelajah Dunia BWF bagi tahun hadapan iaitu Terbuka Malaysia 2024 akan dijual bermula hari esok (15 November), demikian makluman daripada Persatuan Badminton Malaysia (BAM).

Pembukaan jualan tiket bagi kejohanan yang bertaraf Super 1000 itu bermula kira-kira sebulan dan setengah daripada tarikh berlangsungnya pertandingan tersebut iaitu dari 9hb hingga 14hb Januari di Axiata Arena, Bukit Jalil.

Bagi menghangatkan lagi kejohanan yang menawarkan hadiah keseluruhan berjumlah AS$1.3 juta ini, BAM turut melancarkan kempen ‘early bird’ yang menawarkan diskaun kepada para penyokong yang melakukan pembelian bermula 15 November hingga 15 Disember.

Bagaimanapun, harga jualan tiket bagi setiap kategori termasuk diskaun yang diberikan kepada pembeli awal tidak didedahkan oleh BAM dalam kenyataannya.

Bagi penyokong yang ingin mendapatkannya, tiket Terbuka Malaysia 2024 akan dijual di laman sesawang www.ticket2u.com.my bermula jam 11 pagi esok.

Featured Image: Badminton Association of Malaysia

Komen