Kelab Milik Ahli Perniagaan Indonesia Lantik Fabregas Selaku Pengurus ‘Interim’
November 14, 2023 Hafizuddin Omar

Legenda Arsenal, Barcelona dan Chelsea iaitu Cesc Fabregas kini memulakan lembaran baharu dalam kariernya apabila diberikan peranan sebagai pengurus skuad bola sepak senior buat julung kalinya.

Peranan itu hadir setelah bekas pemain tengah maestro berusia 36 tahun dilantik selaku pengurus sementara (interim) bagi Como 1907 – sebuah kelab yang beraksi dalam divisyen kedua bola sepak bola sepak Itali, Serie B.

Pelantikan Fabregas untuk mengemudi kelab yang dimiliki oleh ahli perniagaan Indonesia itu hadir bagi menggantikan khidmat pengurus sebelum ini, Moreno Longo, kelahiran Itali, berusia 47 tahun, yang dilepaskan oleh Como 1907.

Khidmat Longo dilepaskan oleh Como 1907 biarpun berjaya merakamkan kemenangan 1-0 ke atas Ascoli di tempat lawan, dalam perlawanan terakhir kendaliannya pada hujung minggu baru-baru ini.

Pada saat ini, Como 1907 menghuni tempat keenam liga hasil mengumpul 21 mata daripada 12 perlawanan. Pungutan mata itu disumbangkan oleh enam kemenangan serta tiga keputusan seri setakat ini.

Untuk makluman semua, hubungan Fabregas dan Como 1907 bermula pada musim lalu apabila dia menandatangani kontrak selaku pemain pada pada Ogos tahun lalu. 

Bersama kelab ini, Fabregas berhasil tampil sebanyak 17 kali dan mencipta dua bantuan gol (assist) yang membantu Como 1907 menamatkan saingan Serie B musim 2022-23 di tempat ke-13.

Pada Julai lalu, Fabregas mengumumkan bersara sebagai pemain bola sepak dan menerima tawaran sebagai pelatih buat skuad pembangunan dan remaja Como 1907.

Sebagai tambahan, Fabregas akan berperanan sebagai pengurus pasukan sehingga pengurus baharu ditemui oleh pihak pengurusan Como 1907.

Featured Image: Como 1907

Komen