Jaguh badminton tanah air, Lee Zii Jia secara rasminya menolak untuk menyertai program Road To Gold (RTG),
Sekretariat RTG mengesahkan penolakan penyertaan pemain berusia 25 tahun berkenaan setelah persidangan video secara atas talian bersama Team LZJ pada hari ini yang diwakili oleh jurulatihnya, Wong Tat Meng dan Liew Daren serta pengurus merangkap kakaknya, Lee Zii Yii.
Difahamkan, pihak Team LZJ membuat keputusan untuk menolak menyertai program RTG selepas membuat pertimbangan dan rundingan dalaman dimana Zii Jia tidak memerlukan tambahan servis yang ditawarkan.
Bagaimanapun, Team LZJ telah memberi jaminan bahawa mereka akan terus bekerja erat bersama pelbagai pemegang taruh seperti Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Majlis Olimpiik Malaysia (MOM), Majlis Sukan Negara (MSN) dan Institut Sukan Negara (ISN) untuk persedian ke Sukan Olimpik yang akan berlangsung di Paris, tahun hadapan.
Sebagai rekod, pada mesyuarat RTG kali ketiga penghujung bulan lalu, Menteri Belia dan Sukan merangkap Pengerusi Bersama RTG, YB Hannah Yeoh serta Koordinator RTG, Datuk Stuart Ramalingam memaklumkan Zii Jia belum menandatangani perjanjian komitmen bagi menyertai RTG.
Pada ketika itu, pihak RTG memberikan tempoh selama dua minggu iaitu sehingga 14 November (hari ini) kepada Zii Jia untuk menandatangani perjanjian tersebut atau dikeluarkan daripada program RTG.
Untuk makluman semua, Program RTG merupakan satu program yang memberikan beberapa kemudahan serta insentif-insentif kepada atlet-atlet terpilih yang dilihat mampu merealisasikan harapan negara untuk membutirkan pingat emas khususnya yang pertama buat negara di temasya Sukan Olimpik.
Dengan penolakan Zii Jia, Program RTG kini disertai oleh 14 atlet iaitu Dato’ Muhammad Azizulhasni Awang, Muhammad Shah Firdaus Sahrom (berbasikal), Dato’ Pandelela Rinong, Nur Dhabitah Sabri (terjun), Mohamad Aniq Kasdan (angkat berat), Ng Tze Yong, Aaron Chia & Soh Wooi Yik, Ong Yew Sin & Teo Ee Yi, Pearly Tan & Thinaah Muralitharan serta Chen Tang Jie & Toh Ee Wei (badminton).
Featured Image: Facebook Victor