Menteri Belia dan Sukan, YB Hannah Yeoh telah memohon Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) untuk menjual tiket perlawanan Harimau Malaya menentang Kyrgyzstan di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) pada 16 November nanti dengan harga ‘rahmah’ atau lebih murah.
Permohonan itu dibuat selepas beliau menerima banyak komen daripada para penyokong di media sosial yang mahukan tiket dengan harga ‘rahmah’ pada perlawanan pertama Kumpulan D dalam Pusingan 2 Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 tersebut.
Sekiranya harga yang dijual lebih murah, ianya dijangka akan menarik lebih ramai penyokong untuk membeli tiket perlawanan tersebut sekaligus meramaikan lagi penyokong serta menaikkan semangat skuad kendalian Kim Pan-gon di stadium pada Khamis nanti.
“Saya juga telah melihat banyak komen meminta tiket rahmah supaya lebih ramai lagi yang boleh membeli tiket, tetapi, yang itu telah saya sampaikan kepada Datuk Hamidin, saya sedang menunggu maklum balas daripada FAM,
“Kalau boleh kita perbanyakkan lagi penjualan tiket supaya team Harimau Malaya akan mendengar sorakan yang lebih kuat pada malam itu nanti,” katanya ketika ditemui oleh para pengamal media petang tadi di Hotel Dorsett Grand Subang, petang tadi.
Seperti ramai ketahui, FAM menjual tiga kategori tiket; Terbuka, Grandstand dan Premium pada perlawanan ini. Ketiga-tiga kategori itu ditetapkan harganya sebanyak RM40, RM60 dan RM80 masing-masing.
Sementara itu, harga tiket kategori Terbuka bagi kanak-kanak pula diletakkan pada harga RM5.
Badan induk bolas sepak tanah air itu menjelaskan harga ini ditetapkan oleh Jawatankuasa Tiket dan Stadium FAM selepas mengambil kira pelbagai faktor termasuk peningkatan semasa kos-kos berkaitan melibatkan kos pengurusan dan penganjuran perlawanan.
Selain itu, penetapan harga RM40 bagi kategori Terbuka adalah berdasarkan taraf perlawanan Kelayakan Piala Dunia/Piala Asia yang pastinya berbeza dengan Perlawanan Antarabangsa Tier 1 yang dijual pada harga RM30 bagi kategori yang sama.
Untuk makluman semua, sejak dibuka penjualannya bermula 7 November lalu, tiket bagi perlawanan Malaysia menentang Kyrgyzstan yang telah terjual adalah sebanyak 5,944 keping sahaja setakat sekitar jam 10 pagi tadi.
View this post on Instagram
komen
Tiada komen
Tiada lagi komen untuk artikel ini.
Jadi yang pertama untuk komen!