Teka-teki mengenai individu yang dipilih untuk mengisi kekosongan jawatan Ketua Pegawai Operasi (COO) Terengganu FC terjawab apabila ianya diisi oleh Mohd Syahrizan Mohd Zain.
Perkara ini terjawab apabila pihak kelab mengumumkan perkara berkenaan secara rasmi menerusi satu makluman di pelbagai platform media sosialnya, malam tadi.
Keputusan itu dibuat setelah Ahli Lembaga Pengarah (ALP) Terengganu FC bermesyuarat pada petang semalam yang dipengerusikan oleh Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT), YB Hishamuddin Abdul Karim merangkap Pengerusi Jawatankuasa (Exco) Pembangunan Belia, Sukan Dan NGO.
“Tahniah buat Mohd Syahrizan Mohd Zain yang telah diputuskan untuk menggalas tanggungjawab sebagai Ketua Pegawai Operasi Terengganu FC.” kata Hishamuddin seperti dipetik daripada hantaran di media sosialnya.
View this post on Instagram
Untuk makluman, Syahrizan sebelum ini menjawat jawatan sebagai Ketua Pegawai Teknikal (CTO) Terengganu FC.
Difahamkan beliau antara individu yang banyak menyumbang kepada perkembangan kelab ini sejak Terengganu FC diwujudkan pada tahun 2018.
Terdahulu, jawatan tersebut mengalami kekosongan setelah penyandangnya sebelum ini, Mohd Sabri Abbas dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Terengganu FC bermula awal Oktober lalu. Susulan itu, Terengganu FC telah mengiklankan kepada orang ramai yang berminat menghantar permohonan bagi mengisi jawatan berkenaan.
Sebagai tambahan, selain peranannya sebagai CTO bersama Terengganu FC, Syahrizan turut memegang jawatan sebagai Setiausaha Eksekutif bersama PBSNT.
Featured Image: Facebook Hishamuddin Abdul Karim