Artikel

Kim Pan-gon: Impian Kami Kelompok 18 Terbaik Asia

Ketua jurulatih skuad bola sepak kebangsaan, Kim Pan-gon meletakkan sasaran untuk membawa Malaysia memasuki kelompok 18 pasukan terbaik asia pada aksi Pusingan 2 Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 yang bermula esok.

Bagi merealisasikan perkara tersebut, Malaysia atau nama julukannya Harimau Malaya perlu menamatkan kempen peringkat Kumpulan D yang turut terdiri daripada Oman, Kyrgyzstan dan Chinese Taipei sekurang-kurangnya selaku naib juara.

Kedudukan itu bukan sahaja akan merealisasikan sasaran tersebut dengan mara ke Pusingan 3 Kelayakan Piala Dunia 2026 bahkan turut mengesahkan tempat secara automatik dalam saingan Piala Asia 2027 yang berlangsung di Arab Saudi kelak.

“Kami mahu ke peringkat 18 terbaik (asia), ini sasaran kami yang jelas, sudah tentu cabaran besar (menanti) kerana setakat yang kita ketahui Malaysia berada di ranking ke-137 sekarang,”  

“Kami memasang impian untuk berada dalam kelompok 18 terbaik (asia), mungkin negara lain akan gelakkan kami tetapi untuk kami, inilah impian kami, kami sangat mahu berada dalam kelompok 18 terbaik untuk mencabar pasukan terbaik yang berkualiti di asia,” katanya dalam sidang media praperlawanan di Wisma FAM, pagi tadi.

Harimau Malaya akan memulakan kempen kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 ini dengan menentang Republik Kyrgyzstan yang berada di ranking ke-97 dunia pada hari esok di tempat sendiri.

Selang empat hari kemudian, anak-anak buah Pan-gon akan turun menentang Chinese Taipei yang menghuni ranking ke-152 dunia di tempat lawan untuk perlawanan kedua peringkat Kumpulan D.

Pan-gon melihat dua perlawanan ini sebagai perlawanan yang amat penting buat Harimau Malaya dalam merealisasikan impian mereka untuk meletakkan diri dalam kelompok 18 terbaik asia.

Pada masa yang sama, Pan-gon beranggapan dengan memungut 12 atau 13 mata sudah cukup bagus untuk meletakkan Harimau Malaya dalam kelompok 18 pasukan terbaik asia dan mara ke Pusingan 3 Kelayakan Piala Dunia 2026.

Featured Image: Football Association of Malaysia

komen