Kumamoto Masters: Tze Yong Bertemu Semula Axelsen Di Pusingan 16
November 15, 2023 Hafizuddin Omar

Perseorangan lelaki No.2 tanah air, Ng Tze Yong akan bertemu semula pemain No.1 dunia dari Denmark, Viktor Axelsen di pusingan 16 dalam saingan Kumamoto Masters Jepun 2023.

Pertembungan itu berlaku setelah Tze Yong berhasil menumpaskan lawannya dari Chinese Taipei, Wang Tze Wei secara “straight set” menerusi skor 21-12 dan 21-11 di pusingan 32 pada hari ini.

Sementara itu, Axelsen pula melakar kemenangan ke atas pemain Indonesia yang menghuni ranking ke-22 dunia, Chico Aura Dwi Wardoyo juga secara “straight set” menerusi skor 21-11 dan 21-7 di peringkat yang sama.

Kemenangan yang diperoleh kedua-dua pemain ini membolehkan mereka mara ke pusingan 16 dan bertembung sesama sendiri untuk merebut tiket ke peringkat suku akhir bagi kejohanan Jelajah Dunia BWF bertaraf Super 500 ini.

Sebagai rekod, Tze Yong dan Axelsen pernah berentap sebanyak sekali sebelum ini di pentas antarabangsa.

Pertembungan epik yang berlangsung di Kejohanan Badminton Terbuka Seluruh England 2023 pada Mac lalu menyaksikan Tze Yong berjaya mengejutkan Axelsen.

Perlawanan yang berlangsung selama satu jam dan sembilan minit itu menyaksikan Tze Yong meraih kemenangan ke atas Axelsen menerusi tiga set permainan yang berakhir dengan skor 21-15, 9-21 dan 23-21.

Keputusan itu sekaligus mengekang Axelsen yang pada ketika itu diletakkan sebagai pilihan pertama kejohanan untuk ke peringkat suku akhir bagi kejohanan bertaraf Super 1000 tersebut.

Mampukah Tze Yong mengulangi kemenangan dalam pertemuan pusingan 16 pada hari esok sekaligus meraih tiket ke peringkat suku akhir? Atau ianya akan berpihak kepada Axelsen? Kongsikan ramalan anda.

Komen