Kumamoto Masters: Pearly-Thinaah Tiada Masalah Ke Suku Akhir
November 16, 2023 Hafizuddin Omar

Beregu wanita No.1 negara, Pearly Tan dan Thinaah Muralitharan tidak mempunyai masalah untuk meneruskan kemaraannya ke peringkat suku akhir Kumamoto Masters Jepun 2023.

Pasangan negara yang berada di ranking ke-13 dunia melakar kemaraan dengan menyingkirkan wakil Jepun, Rui Hirokami dan Yano Kato di pusingan 16, sebentar tadi.

Pearly-Thinaah dilihat tidak tidak berhadapan cabaran sukar ketika menentang gandingan yang menduduki ranking ke-28 dunia tersebut dan melakar kemenangan secara “straight set” menerusi skor 21-17 dan 21-16 dalam tempoh 41 minit.

Menariknya, keputusan pada hari ini menjadikan Pearly-Thinaah mengulangi kemenangan yang dilakar mereka ke atas lawan yang sama pada pertemuan sulung yang berlangsung di Terbuka Korea pada Julai lalu.

Bagaimanapun, perlawanan di Terbuka Korea itu disudahi oleh Pearly-Thinnah menerusi tiga set permainan yang berskor 21-17, 15-21 dan 21-15.

Bercakap mengenai lawannya di peringkat suku akhir yang dijadualkan pada hari esok, Pearly-Thinaah akan berhadapan samada sepasang lagi beregu dari negara matahari terbit, Rena Miyaura dan Ayako Sakuramoto (ranking ke-14) atau gandingan Chinese Taipei, Sung Shuo Yun dan Yu Chien Hui (ranking ke-122).

Pearly-Thinah akan berhadapan salah satu daripada pasangan tersebut untuk merebut tiket ke peringkat separuh akhir salah satu siri pertandingan Jelajah Dunia BWF yang bertaraf Super 500 ini.

Untuk makluman semua, kemaraan ke peringkat suku akhir ini juga merupakan yang pertama kembali dijejaki Pearly-Thinaah selepas temasya Sukan Asia yang berlangsung sekitar lebih sebulan lalu.

Sebelum ini, pasangan ini terpaksa menarik diri dan melupakan hasrat untuk beraksi dalam tiga kejohan yang berlangsung di eropah; Terbuka Arctic, Terbuka Denmark dan Terbuka Perancis gara-gara kecederaan yang dialami oleh Pearly.

Featured Image: Perodua Malaysia Masters 2023

Komen