Alex Song Gantung But Pada Usia 36 Tahun
November 16, 2023 Hafizuddin Omar

Pemain kelahiran Cameroon, Alex Song yang pernah beraksi bersama Arsenal dan FC Barcelona menamatkan kariernya sebagai pemain bola sepak profesional pada usia 36 tahun.

Perkembangan ini hadir selepas Song yang terkenal dengan peranannya di posisi tengah bertahan mengumumkan menggantung but bola selepas hampir 20 tahun bermain bola sepak di peringkat senior menerusi satu hantaran di akaun Instagram peribadinya.

Menyingkap kembali perjalanan bola sepaknya, Song menyangka penghijrahannya sekitar tahun 2004 ke Perancis untuk menyertai dan beraksi bersama SC Bastia sudah menjadi keajaiban buat dirinya. 

Apatah lagi buat dirinya sebagai seorang remaja dari benua afrika yang mula bermain bola sepak dengan berkaki ayam di atas padang bertanah keras semasa zaman kanak-kanaknya di Yaounde – ibu negara Cameroon.   

 

View this post on Instagram

 

A post shared by 𝐀𝐥𝐞𝐱𝐚𝐧𝐝𝐫𝐞 𝐒𝐨𝐧𝐠 (@17alexsong)

Namun begitu, ia hanyalah permulaan sebelum namanya meniti di bibir peminat naik dalam kalangan peminat bola sepak dunia bermula dengan diikat Arsenal kendalian Arsene Wenger untuk beraksi dalam kancah Liga Perdana Inggeris (EPL) bermula musim 2005-06.

Bersama kelab berpangkalan di utara London itu, usaha dan kemampuan Song berhasil menambat hati Wenger sehingga diletakkan dia diletakkan selaku tonggak utama skuad berjulukan Gunners itu.

Song sempat menabur bakti selama tujuh musim bersama Arsenal dengan merekodkan 204 penampilan serta menjaringkan10 gol dan mencipta 23 bantuan gol.

Tatkala khidmat menjadi taruhan utama Arsenal, Song membuat keputusan meninggalkan kelab itu dan menerima kontrak selama lima tahun bersama kelab gergasi Sepanyol, Barcelona bermula awal musim 2012-13.

Ketika itu skuad yang berpangkalan di Catalan itu sedang di puncak prestasi dengan dibarisi pemain-pemain berkelas dunia seperti Lionel Messi, Andres Iniesta, Xavi, Carles Puyol dan lain-lain lagi.

Bagaimanapun, kariernya bersama Barcelona tidak begitu menyengat sepertimana ketika beraksi bersama Arsenal. Bahkan Song terpaksa bersaing hebat untuk mendapatkan tempat dalam kesebelasan utama menyebabkan dia kerap memanaskan bangku simpanan.

Selepas dua musim tidak begitu konsisten di dalam kesebelasan utama, Song membuat keputusan meninggalkan Barcelona dan kembali ke kancah bola sepak Inggeris dengan menyertai West Ham United selaku pemain pinjaman.

Jodoh Song bersama skuad berjulukan The Hammers berlangsung selama dua musim dengan tampil sebanyak 46 kali serta merekodkan tiga bantuan gol.

Selepas daripada itu, Song meneruskan kariernya ke Rubin Kazan (2016-2018), FC Sion (2018-2020) dan akhir sekali AS Arta (2020-2023). 

Sementara itu, bersama skuad kebangsaan Cameroon, Song tampil sebanyak 47 kali dengan beraksi dalam Piala Dunia, Piala Negara-Negara Afrika dan perlawanan antarabangsa. 

Featured Image: FC Barcelona

Komen