Pasukan dari rantau asia tengah yang menghuni ranking ke-97 dunia dikejutkan oleh Malaysia dalam perlawanan pertama peringkat Kumpulan D bagi Pusingan 2 Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027.
Beraksi di hadapan penyokong sendiri di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ), Malaysia berjulukan Harimau Malaya berhasil mendahului seawal minit ketujuh menerusi tandukan oleh Dion Cools setelah menerima hantaran daripada Arif Aiman daripada situasi sepakan sudut.
Bagaimanapun, pendahuluan oleh Cools itu hanya bertahan selama 35 minit sahaja sebelum pertahanan Kyrgyzstan, Zhyrgalbek Kairat mengambil peluang untuk menyudahkan bola muntah yang gagal ditampan kemas oleh Syhian Hazmi pada minit ke-42 untuk menyamakan kedudukan.
Tidak cukup dengan gol penyamaan itu, Kyrgyzstan memastikan mereka memasuki bilik persalinan pada rehat separuh masa pertama dengan pendahuluan 2-1 apabila Batyrkanov Ernist mengambil peluang untuk menyudahkan bola yang gagal dihadang oleh Cools pada minit ke-45.
Separuh Masa
Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 | Khamis, 16 November 2023
MALAYSIA 🇲🇾 1-2 🇰🇬 REPUBLIK KYRGYZ
⚽️ Dion Cools 7′
⚽️ Kayrat Zhyrgalbek 42′ Ernist Batyrkanov 44′#FAM #HarimauMalaya #FIFAWorldCup #AsianCup2027 pic.twitter.com/Gl18QOjoFf— FA Malaysia (@FAM_Malaysia) November 16, 2023
Bersambung babak kedua, Kyrgyzstan tidak menunggu lama untuk menambah satu lagi jaringan menerusi pemain gantian, Kai Merk pada minit ke-57 untuk menjadikan kedudukan semasa 3-1 ke atas Malaysia.
Tersentak dengan jaringan itu, Malaysia bimbingan Pan-gon meningkat asakan ke kubu lawan untuk mengejar kedudukan tersebut.
Percubaan demi percubaan yang dilakukan, gol yang dinantikan mula menjelma pada minit ke-72 apabila pertahanan Kyrgyzstan, Khristiian Brauzman tertampan bola hantaran daripada Artif Aiman ke dalam gawang sendiri sekaligus membolehkan Malaysia menukar skor semasa menjadi 2-3.
Selang empat minit kemudian, Cools pula berhasil mengulangi tandukan yang dilakukannya ketika menjaringkan gol pertama pada minit ke-78 bagi memastikan Malaysia dapat menyamakan kedudukan menjadi 3-3.
Serentak dengan jaringan tersebut, 17,142 penonton yang hadir di stadium meninggikan lagi sorakan kepada para pemain agar lebih bermotivasi untuk memburu jaringan keempat sekaligus mengutip tiga mata berharga daripada perlawanan ini.
Sorakan itu ternyata dibalas oleh para pemain Harimau Malaya apabila Faisal Halim yang mendapat lorongan daripada Arif Aiman berjaya menyempurnakan percubaannya betul-betul di penghujung permainan sekaligus menjadikan skor berubah kepada 4-3.
Keputusan Masa Penuh
Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 | Khamis, 16 November 2023
MALAYSIA 🇲🇾 4-3 🇰🇬 REPUBLIK KYRGYZ
⚽️ Dion Cools 7′ 77′ Brauzman (GS) 72′ Faisal Halim 90’+3
⚽️ Zhyrgalbek 42′ Batyrkanov 44′ Merk 57′ #FAM #HarimauMalaya #FIFAWorldCup #AsianCup2027 pic.twitter.com/fSTTyjreNU— FA Malaysia (@FAM_Malaysia) November 16, 2023
Selepas jaringan mengejutkan oleh Faisal itu, Kyrgyzstan ada melakukan percubaan ke arah gawang yang dijaga oleh Syihan untuk memburu jaringan keempatnya.
Namun kekentalan Syihan serta bantuan daripada barisan pertahanan negara berhasil memastikan pendahuluan 4-3 itu kekal sehingga pengadil perlawanan dari Bahrain, Ammar Ebrahim meniup wisel menamatkan permainan.
Kemenangan pada malam ini sekaligus menghadiahkan Malaysia tiga mata pertama yang cukup berharga daripada pusingan 2 serta menjadi bekalan motivasi yang baik sebelum terbang menentang Chinese Taipei pada perlawanan kedua Kumpulan D, Selasa nanti.
Featured Image: Football Association of Malaysia