Kumamoto Masters: Tang Jie-Ee Wei Belum Temui Cara Tumpaskan Beregu No.1 Dunia
November 17, 2023 Hafizuddin Omar

Beregu campuran terbaik negara pada masa ini, Chen Tang Jie dan Toh Ee Wei nampaknya belum menemui formula untuk menumbangkan gandingan No.1 dunia dari China, Zheng Si Wei dan Huang Ya Qiong.

Pertemuan terbaru merangkap yang ketiga melibatkan kedua-dua pasangan yang berlangsung di peringkat suku akhir Kumamoto Masters Jepun 2023 menyaksikan Tang Jie-Ee Wei sekali lagi terpaksa akur menanggung kekalahan.

Dalam perlawanan tersebut Tang Jie-Ee Wei yang berada di ranking kesepuluh dunia sekali lagi tumpas secara “straight set” di tangan Si Wei-Ya Qiong menerusi skor 14-21 dan 14-21 dalam tempoh masa 35 minit permainan.

Kekalahan itu sekaligus menghanguskan peluang buat Tang Jie-Ee Wei untuk melangkah ke peringkat separuh akhir kejohanan Jelajah Dunia BWF bertaraf Super 500 ini.

Sebagai rekod, dalam dua pertemuan lalu yang berlangsung di Terbuka Jepun 2023 dan Sukan Asia 2022, Tang Jie-Ee Wei tumpas di tangan Si Wei-Ya Qiong menerusi skor 11-21 dan 13-21 serta 14-21 dan 21-23 masing-masing.

Sementara itu, Si Wei-Ya Qiong yang meraih tiket kemaraan ke peringkat separuh akhir akan bertemu beregu Korea yang menghuni ranking keempat dunia, Seo Seung-jae dan Chae Yu-jung untuk merebut slot ke perlawanan akhir.

Gandingan Seo-Chae mengesahkan kemaraan tersebut selepas menumpaskan beregu China yang berada di ranking keenam dunia, Jiang Zhen Bang dan Wei Ya Xin secara “straight set” menerusi skor 21-19 dan 21-19.

Featured Image: Perodua Malaysia Masters 2023

Komen