Harimau Malaya Huni Ranking 130 Dunia Selepas Cipta Kebangkitan Tumpaskan Kyrgyzstan
November 17, 2023 β€’ Hafizuddin Omar

Kemenangan penuh dramatik yang dilakar skuad bola sepak kebangsaan berjulukan Harimau Malaya ke atas Kyrgyzstan dalam perlawanan Pusingan 2 Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 bukan sahaja memberikan tiga mata pertama yang berharga.

Kemenangan itu juga turut menghadiahkan Harimau Malaya tambahan 15.49 mata untuk dimasukkan dalam pengiraan Ranking Dunia oleh FIFA yang menyaksikan skuad kendalian Kim Pan-gon kini mengumpul 1112.21 mata secara keseluruhan.

Berdasarkan kiraan tidak rasmi yang dilakukan oleh Footy Rankings, pengumpulan mata itu meletakkan Harimau Malaya kini di tangga ke-130 dunia – meningkat tujuh anak tangga daripada kedudukan rasmi pada ketika ini.

Sementara itu, Kyrgyzstan bimbingan Stefan Tarkovic pula hilang 15.49 mata hasil daripada kekalahan yang memilukan ini.

Hasilnya, skuad berjulukan β€˜The White Falcons’ secara mengalami kejatuhan sebanyak tiga anak tangga dan secara tidak rasminya menghuni tangga ke-100 dunia pada masa ini.

Pada Selasa nanti, Harimau Malaya yang berada dalam Kumpulan E akan menghadapi perlawanan kedua bertemu pasukan yang menghuni ranking ke-152 dunia di tempat lawan.

Manakala Kyrgyzstan pula akan melayan kunjungan pasukan di tangga ke-72 dunia, Oman di tempat sendiri.

Kedudukan rasmi Malaysia serta pasukan lain dalam ranking dunia akan dapat diketahui pada kemaskini yang seterusnya oleh FIFA pada 30 November kelak.

Featured Image: Football Association of Malaysia

Komen