Kumamoto Masters: Kian Meng-Pei Jing Turut Sama Kandas
November 17, 2023 Hafizuddin Omar

Beregu campuran No.3 tanah air, Tan Kian Meng dan Lai Pei Jing menerima nasib yang sama seperti Chen Tang Jie dan Toh Ee Wei – gagal ke peringkat separuh akhir Kumamoto Masters Jepun 2023.

Situasi itu hadir apabila Kian Meng-Pei Jing mengalami kekalahan ketika berentap menentang wakil tuan rumah yang menghuni ranking No.2 dunia, Yuta Watanabe dan Arisa Higashino di peringkat suku akhir, sebentar tadi.

Kian Meng-Pei Jing yang kini berada di ranking ke-21 dunia tumpas perlawanan tersebut secara “straight set” menerusi skor 15-21 dan 16-21 dalam tempoh 40 minit permainan.

Keputusan itu bukan sahaja mengekang Kian Meng-Pei Jing ke peringkat separuh akhir bagi kejohanan ini bahkan turut memanjangkan lagi kemarau untuk melangkah ke peringkat tersebut sejak kali terakhir melakukannya di saingan Terbuka China pada awal September lalu.

Pada masa yang sama, keputusan pada hari ini juga menjadikan Yuta-Arisa melebarkan rekod kemenangan mereka kepada tujuh kemenangan ke atas Kian Meng-Pei Jing daripada sepuluh pertemuan secara keseluruhan di pentas antarabangsa.

Sementara itu, Yuta-Arisa yang melangkah ke peringkat separuh akhir akan berhadapan wakil China yang menghuni ranking ketiga dunia, Feng Yan Zhe dan Huang Dong Ping untuk merebut slot ke perlawanan akhir.

Susulan tamatnya kempen di Kumamoto Masters ini, Kian Meng-Pei Jing akan terbang ke negara tembok besar untuk menyertai China Masters 2023 – Jelajah Dunia BWF Super 750 – yang akan bermula Selasa hadapan.

Komen