Beregu lelaki No.2 negara, Ong Yew Sin dan Teo Ee Yie menjadi wakil tunggal negara yang kekal bersaing dalam kancah Kumamoto Masters 2023.
Ini selepas pasangan yang menghuni ranking ke-12 dunia ini berjaya merakamkan kemenangan pada peringkat suku akhir sebentar tadi.
Pada perlawanan terbabit, Yew Sin-Ee Yi berjaya menumpaskan beregu Chinese Taipei, Lee Fang-chih dan Lee Fang-jen “straight set” menerusi skor 21-19 dan 21-16 dalam tempoh masa 43 minit.
Keputusan Yew Sin-Ee Yi ke atas pasangan yang menghuni ranking ke-25 dunia pada hari ini mengulangi kemenangan di Terbuka Taipei 2023 – pertemuan sulung melibatkan kedua-dua pasangan ini di pentas antarabangsa.
Pada ketika itu, Yew Sin-Ee Yi melakar kemenangan menerusi tiga set permainan yang berkesudahan dengan skor 15-21, 21-19 dan 21-17 dalam tempoh masa satu jam dan enam minit.
Sementara itu, di peringkat separuh akhir yang dijadualkan pada hari esok menyaksikan Ee Yi-Yew Sin akan turun menentang beregu China, Liu Yu Chen dan Ou Xuan Yi.
Pasangan yang berada di ranking kelapan dunia ini mara selepas menyingkirkan wakil tuan rumah, Akira Koga dan Taichi Saito secara “straight set” 21-19 dan 21-13.
Sebagai rekod, Yew Sin-Ee Yi pernah menentang gandingan Liu-Ou sebanyak tiga kali sebelum ini.
Dua daripada pertemuan itu dimenangi oleh Liu-Ou di Terbuka Australia 2022 dan Indonesia Masters 2022 sementara itu satu lagi pertarungan berpihak kepada Yew Sin-Ee Yi di Terbuka Denmark 2022.
Terdahulu, tiga lagi wakil negara yang beraksi di peringkat suku akhir iaitu Chen Tang Jie-Toh Ee Wei, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing dan Pearly Tan-Thinaah Muralitharan tewas kepada lawan masing-masing sekaligus gagal mara ke peringkat separuh akhir.
Featured Image: Badminton Association of Malaysia