Penjaring gol kemenangan pada masa tambahan, Faisal Halim menganggap kemenangan epik dan dramatik ke atas Republik Kyrgyzstan tidak memberi sebarang makna sekiranya Malaysia mencatatkan keputusan seri atau tewas pada perlawanan seterusnya.
Dalam perlawanan tersebut, Malaysia terlebih dahulu ketinggalan 1-3 selepas 57 minit permainan berlangsung sebelum bangkit mengubah kedudukan kepada 4-3 menerusi jaringan sendiri Khristiian Brauzman (72’), tandukan Dion Cools (77’) dan rembatan Faisal (90’+3).
Penyerang sayap yang berusia 25 tahun ini mahu skuad kebangsaan berjulukan Harimau Malaya mengekalkan rentak kemenangan apabila bertemu Chinese Taipei pada perlawanan kedua peringkat Kumpulan D dalam Pusingan 2 Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 pada Selasa nanti.
“Walaupun kita menang pada malam ini, saya tak nak pasukan kita draw ataupun kalah di Taiwan, itu tak bermakna kalau kita menang pada malam ini (Khamis lalu), apa yang penting kita perlu konsisten, kita perlu perbaiki apa yang penting,” katanya ketika ditemui selepas perlawanan di Stadium Nasional Bukit Jalil.
Kemenangan yang dilakar di hadapan 17,142 penonton itu bukan sahaja memberikan tiga mata pertama yang cukup berharga buat skuad bimbingan Kim Pan-gon yang bercita-cita untuk melakar sejarah mara buat kali pertama ke Pusingan 3 Kelayakan Piala Dunia.
Untuk makluman semua, Pan-gon sebelum perlawanan menentang Kyrgyzstan meletakkan sasaran untuk mengumpul 12 atau 13 mata daripada saingan peringkat Kumpulan D bagi merealisasikan kemaraan ke Pusingan 3 sekaligus berada dalam kelompok 18 pasukan terbaik asia.
Selain pungutan tiga mata, kemenangan itu turut memberikan tambahan 15.49 mata untuk dimasukkan dalam pengiraan Ranking Dunia FIFA yang secara tidak rasminya telah melonjakkan kedudukan Malaysia sebanyak tujuh anak tangga sekaligus menghuni ranking ke-130 dunia.
Jika keputusan perlawanan ini memihak kepada Oman 🇴🇲, mata tambahan FIFA Ranking Malaysia berdepan Chinese Taipei adalah;
1) Menang: +10.65 mata
2) Seri: -1.85 mata
3) Kalah: -14.35 mataMaksimum mata FIFA Ranking 2 perlawanan adalah +26.144
Hanya kemenangan pilihan yang ada!… https://t.co/PNwNqWaWrF
— Ahmad Ridzuan AG (@AhmadRidzuanAG) November 16, 2023
Sekiranya kalah kepada Chinese Taipei, Malaysia akan mengalami penolakan sebanyak 14.35 mata dalam pengiraan Ranking Dunia FIFA.
Ini bermakna, Malaysia hanya meraih tambahan 1.14 mata bagi dimasukkan dalam pengiraan Ranking Dunia FIFA daripada dua perlawanan pada bulan ini berdasarkan senario di atas.
Sebagai tambahan, Chinese Taipei yang berada di ranking ke-152 pada masa kini memulakan kempen Pusingan 2 Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 dengan langkah kiri apabila tumpas di tangan Oman dengan keputusan 0-3.
Untuk rekod, pertemuan terakhir Malaysia dan Chinese Taipei berlangsung pada 2018 lalu dalam satu perlawanan persahabatan antarabangsa dan ianya berakhir dengan Chinese Taipei melakar kemenangan 2-0.
Featured Image: Football Association of Malaysia