Kumamoto Masters: Kempen Yew Sin-Ee Yi Bernoktah Di Separuh Akhir
November 18, 2023 Hafizuddin Omar

Perjalanan beregu lelaki No.2 tanah air, Ong Yew Sin dan Teo Ee Yi menemui titik noktahnya di peringkat separuh akhir sekaligus gagal menjejaki pentas akhir Kumamoto Masters Jepun 2023.

Beregu China, Liu Yu Chen dan Ou Xuan Yi menjadi punca kepada matinya langkah beregu yang menghuni ranking ke-12 ini dalam saingan Jelajah Dunia BWF bertaraf Super 500 tersebut.

Ketika berentap menentang pasangan yang berada di ranking kelapan dunia itu tadi, Yew Sin-Ee Yi menamatkan perlawanan yang menjangkau 68 minit lamanya menerusi tiga set permainan yang berkesudahan dengan skor 21-16, 20-22 dan 17-21.

Untuk makluman semua, ini merupakan aksi Yew Sin-Ee Yi di peringkat separuh akhir yang pertama selepas hampir lima bulan.

Sebagai rekod, kali terakhir Yew Sin-Ee Yi beraksi di peringkat separuh akhir dalam kejohanan yang disertainya adalah di Terbuka Taipei yang berlangsung 20-25 Jun lalu.

Sementara itu, dengan berakhirnya perjalanan Yew Sin-Ee Yi di peringkat tersebut, beregu yang bergerak secara bersendirian (independent) ini mengutip 6,420 mata untuk dimasukkan dalam pelbagai pengiraan ranking. 

Bukan itu sahaja, Yew Sin-Ee Yi turut meraih hadiah berupa wang tunai bernilai AS$5,880 atau bersamaan sekitar RM27,474.30.

Sementara itu, Liu-Ou yang melakar kemaraan ke perlawanan akhir akan berentap menentang beregu senegaranya, He Ji Ting dan Ren Xiang Yu untuk merebut gelaran juara pada hari esok.

Featured Image: Perodua Malaysia Masters 2023

Komen