Beregu campuran yang mula bergandingan sejak awal bulan ini, Hoo Pang Ron, 25 tahun, dan Cheng Su Yin, 20 tahun, berjaya meraih gelaran kejuaraan antarabangsa yang pertamanya.
Gelaran itu hadir setelah pasangan yang berada di ranking ke-348 dunia ini berhasil melakar kemenangan pada perlawanan akhir Cabaran Antarabangsa Malaysia 2023 – kejohanan antarabangsa kedua disertai Pang Ron-Su Yin.
Kemenangan itu hadir hasil menumpaskan beregu Chinese Taipei yang menghuni ranking ke-735 dunia, Lin Yu Chieh dan Hsu Yin Hui pada perlawanan akhir yang berlangsung pada hari ini.
Pertarungan yang berlangsung di Arena Badminton Perak, Kompleks Sukan MBI Ipoh itu menyaksikan Pang Ron-Sui Ying mencetak kemenangan secara “straight set” menerusi skor 21-17 dan 21-19 dalam sebelum sah bergelar juara pada kejohanan Persekutuan Badminton Dunia (BWF) bertaraf Gred 3 ini.
Hasil daripada menjuarai kejohanan ini, Pang Ron-Su Yin turut meraih ganjaran berupa wang tunai bernilai AS$2,000 atau bersamaan sekitar RM9,345 serta mengutip 4,000 mata bagi dimasukkan dalam pengiraan Ranking Dunia yang akan dikemaskini pada Selasa nanti.
Menariknya, Pang Ron-Su Yin menempah tiket ke perlawanan akhir dengan menumpaskan Lim Chi Wing-Yap Yee (pusingan 32), Amirul Imran Azuan-Dania Sofea (pusingan 16), Juan Jeremy Zhen Liang-Yap Ling (suku akhir) dan Faris Zaim-Yap Rui Chen (separuh akhir) yang kesemuanya merupakan beregu Malaysia.
Sebagai rekod, saingan Korea Masters 2023 yang berlangsung dari 7-12 November lalu menjadi kejohanan pertama disertai gandingan Pang Ron-Su Yin.
Bagaimanapun, perjalanan mereka dalam kejohanan terbabit terhenti di pusingan 16 setelah tumpas di tangan beregu senegara merangkap pasangan campuran No.1 tanah air pada masa kini, Chen Tang Jie dan Toh Ee Wei.
Bagi kejohanan seterusnya, Pang Ron-Su Yin dijangka akan mengambil bahagian dalam saingan Antarabangsa Syed Modi India 2023 – Jelajah Dunia Super 300 – yang akan bermula pada 28 November kelak.
Sementara itu, tiga lagi wakil negara yang beraksi pada perlawanan akhir; Ng Qi Xuan-Yap Yee (beregu wanita), Wong Ling Ching (perseorangan wanita) dan Fazriq Razif-Wong Vin Sea (beregu lelaki) menamatkan saingan selaku naib juara.
Featured Image: Badminton Association of Malaysia