Ada Slot Play-Off AFC-CAF Buat Harimau Muda Layak Ke Sukan Olimpik
November 20, 2023 Hafizuddin Omar

Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) Datuk Haji Hamidin Mohd Amin mencabar skuad bola sepak kebangsaan bawah 23 tahun (B-23) atau nama julukannya Harimau Muda untuk melayakkan diri ke temasya Sukan Olimpik 2024 Paris.

Hamidin yang juga chef de mission (CDM) kontinjen negara ke Sukan Olimpik 2024 menyedari perkara tersebut sukar untuk direalisasikan dimana hanya juara, naib juara dan pemenang tempat ketiga di Piala Asia B-23 2024 akan layak secara automatik.

Namun begitu, terdapat satu lagi slot yang tersedia untuk direbut oleh pasukan asia khususnya Harimau Muda iaitu dengan mara ke peringkat separuh akhir dan beraksi di perlawanan play-off menentang skuad Guinea B-23 dari benua afrika – pasukan yang mendapat tempat keempat di Piala Negara-Negara Afrika B-23 2023.

“Jangan lupa bola sepak (kelayakan ke Sukan Olimpik) bulan empat (hingga) lima… manalah tahu, kita cuba, kena berusaha,”

“…sebagai presiden (FAM) saya mesti usaha, saya cakap dengan manager (pengurus) dan coach (jurulatih), kita mesti sasar semaksimumnya,” 

“…kita ada 16 pasukan, kita cuba layak ke suku akhir (terlebih dahulu), saya tahu memang sukar kerana hanya (tiga pasukan terbaik) semi-final (separuh akhir) yang akan layak,

“Dan saya tahu Jepun dan Korea merupakan pasukan terbaik, separuh pemain daripada pasukan mereka beraksi di Piala Dunia (peringkat bawah umur), saya dah buat kira-kira (mengenai) Jepun dan Korea, tetapi satu lagi slot main dengan (pasukan) afrika (dari) CAF, kita cuba,”

“Prinsip saya, saya mesti usaha, saya tahu sukar tetapi saya usaha untuk dapatkan (kelayakan ke Sukan Olimpik), cuba untuk dapat layak walaupun kita tahu (ianya) sukar,” jelas Hamidin kepada para pengamal media dalam sidang media selepas Majlis Sambutan Deepavali bersama Persatuan Sukan Kebangsaan di Grand Dorsett Subang, baru-baru ini.

Untuk makluman semua, Piala Asia B-23 2024 – yang turut berperanan sebagai kelayakan ke Sukan Olimpik – akan berlangsung bermula 15 April hingga 3 Mei tahun hadapan di Doha, Qatar.

Skuad Harimau Muda akan beraksi di kejohanan terbabit di bawah bimbingan ketua jurulatih baharu yang dilantik pada 12 Oktober lalu, Juan Torres Garrido dari Sepanyol yang sebelum ini berperanan sebagai penolong ketua jurulatih sejak September 2022.

Terdahulu, Harimau Muda yang ketika itu dibimbing E. Elavarasan berhasil mengesahkan tempat ke Piala Asia B-23 2024 setelah menamatkan pusingan kelayakan yang berlangsung di Chonburi, Thailand pada September lalu di selaku naib juara keempat terbaik.

Sebagai tambahan, kali terakhir Malaysia melayakkan diri ke Sukan Olimpik adalah pada edisi yang berlangsung di Moscow, USSR pada tahun 1980. Namun begitu, Malaysia bertindak memboikot temasya tersebut setelah USSR melakukan pencerobohan ke atas Afghanistan.

Featured Image: Football Association of Malaysia

Komen