Undian Piala Asia B-23: Tiada Derbi Nusantara, Malaysia & Indonesia Dalam ‘Pot 4’
November 20, 2023 Hafizuddin Omar

Derbi Nusantara melibatkan pertembungan antara Malaysia dan Indonesia tidak akan disajikan buat penyokong dan peminat bola sepak kedua-dua negara tersebut pada peringkat kumpulan Kejohanan Piala Asia B-23 2024 kelak.

Ini selepas penganjur mendedahkan kedua-dua pasukan itu bersama-sama Tajikistan serta China diletakkan dalam balang yang sama iaitu Balang 4 menjelang Majlis Undian Akhir bagi kejohanan tersebut yang dijadualkan berlangsung bermula jam 5 petang pada 23 November (Khamis) kelak.

Sementara itu, baki 12 buah pasukan mengisi tiga lagi balang seperti berikut: 

Balang 1: Qatar (tuan rumah) Arab Saudi, Uzbekistan dan Jepun.

Balang 2: Australia, Iraq, Vietnam dan Republik Korea

Balang 3: Thailand, Jordan, Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Kuwait

Penganjur memaklumkan pasukan-pasukan ini dibahagikan ke dalam balang-balang tersebut berdasarkan prestasi mereka di Piala Asia B-23 2022 yang berlangsung di Uzbekistan dimana Arab Saudi berjaya muncul juara.

Untuk makluman semua, kejohanan yang berlangsung dari 15 April hingga 3 Mei itu turut menawarkan 3+1 slot ke Sukan Olimpik 2024 Paris – tiga secara automatik manakala satu pasukan ke perlawanan play-off menentang wakil dari benua afrika.

Sebagai tambahan, majlis undian ini akan berlangsung di Al Bustan Ballroom, Wyndham Doha West Bay di Doha, Qatar. Peminat dan penyokong di Malaysia yang ingin mengikuti majlis undian boleh menontonnya secara langsung DI SINI.

Featured Image: AFC

Komen