Pan-gon Setuju Lanjut Kontrak Sehingga Selesai Pusingan 3 Kelayakan Piala Dunia
November 20, 2023 Hafizuddin Omar

Kim Pan-gon akan terus menabur baktinya bersama skuad bola sepak kebangsaan atau nama julukannya, Harimau Malaya sekurang-kurangnya sehingga selesai Pusingan 3 Kelayakan Piala Dunia 2026.

Perkembangan ini hadir selepas Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Haji Hamidin Mohd Amin mengesahkan jurulatih berusia 54 tahun kelahiran Korea terbabit setuju untuk meneruskan khidmatnya sehingga tahun 2025.

“Ini cabaran kepada Pan-gon untuk membuktikan dia mempunyai sesuatu yang istimewa untuk terus melatih Malaysia. Kontraknya sampai 2025.” kata Hamidin seperti dipetik daripada New Straits Times.

Difahamkan, FAM terus memilih Pan-gon atas faktor ilmu pengetahuannya dan komitmen kerjanya.

Berdasarkan susur masa, Pusingan 3 Kelayakan Piala Dunia 2026 yang merangkumi sepuluh perlawanan akan bermula dari September 2024 dan tamat pada Mac 2025.

Sebelum memulakan saingan peringkat Kumpulan D dalam Pusingan 2 Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027, Pan-gon melaungkan sasarannya utamanya layak ke Pusingan 3 sekaligus sekaligus meletakkan Harimau Malaya dalam kelompok 18 pasukan terbaik asia. 

Pada masa yang sama, ianya turut melayakkan ke kancah Piala Asia 2027 secara automatik.

Khamis lalu, Harimau Malaya bimbingan Pan-gon memulakan kempen kelayakan pusingan 2 dengan langkah kanan apabila menumpaskan pasukan di ranking ke-97 dunia, Republik Kyrgyzstan dengan keputusan 4-3 di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Perlawanan seterusnya, skuad bimbingan Pan-gon akan berhadapan pasukan ke-152 dunia, Chinese Taipei di Stadium Perbandaran Taipei dengan sepak mula pada jam 7 malam (waktu Malaysia).

Untuk makluman, kontrak Pan-gon yang dilantik sebagai ketua jurulatih skuad kebangsaan menggantikan Tan Cheng Hoe sekitar awal tahun lalu dijangka tamat pada Februari tahun hadapan.

Ketika itu, Pan-gon yang hadir bersama beberapa orang staf kejurulatihan pilihannya tersendiri diberikan kontrak selama dua tahun dengan pilihan lanjutan selama dua tahun.

Featured Image: Football Association of Malaysia

Komen