FAM: Sepak Punggung Kiri & Ludah Pengadil, Yazan Digantung Seumur Hidup
November 20, 2023 Hafizuddin Omar

Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) bertindak menggantung seumur hidup bekas pertahanan Selangor FC, Yazan Al-Arab daripada terlibat dengan sebarang aktiviti bola di Malaysia.

Badan induk bola sepak tanah air menerangkan bahawa aktiviti-aktiviti itu termasuk melibatkan pentadbiran, pengurusan dan kesukan bola sepak serta aktiviti yang bersampingan dengannya.

Pemakluman hukuman itu disampaikan oleh FAM selepas Jawatankuasa Tatatertib mencapai keputusan tersebut dalam mesyuarat kali ke-14 bagi penggal 2021-2025 yang diadakan di Wisma FAM, Kelana Jaya. 

Untuk makluman semua, hukuman itu dijatuhkan atas pertuduhan Yazan secara agresif telah menyerang dengan menyepak ke bahagian punggung kiri dan telah meludah ke arah pengadil perlawanan setelah dilayangkan kad merah. 

Tindakan itu dilakukan Yazan semasa perlawanan Suku Akhir 2 Piala Malaysia 2023 antara Selangor FC dan Terengganu FC di Stadium MBPJ pada 24 September lalu.

Selain itu, Yazan yang merupakan pemain skuad kebangsaan Jordan turut dijatuhkan hukuman gantung empat perlawanan bagi satu lagi pertuduhan iaitu meluru ke arah pengadil perlawanan sambil mengeluarkan kata-kata ke arah pengadil tersebut.

Apabila pengadil perlawanan memusingkan badan untuk pergi, Yazan telah bertindak menarik bahu dan menolak dengan daya berlebihan di bahagian dada pengadil itu.

Menurut FAM, kedua-dua pertuduhan itu melanggar Artikel 51, perenggan 1(a) dan Artikel 59 Kod Tatatertib FAM.

Bagaimanapun, Jawatankuasa telah memutuskan untuk mengguna pakai Artikel 43 Kod Tatatertib FAM di mana jika terdapat beberapa hukuman yang boleh dikenakan akibat daripada pelanggaran yang berkait, Jawatankuasa boleh mengenakan hukuman ke atas pelanggaran yang paling serius yang dilakukan sahaja dan bergantung kepada keadaan, boleh meningkatkan lagi hukuman tersebut.

Justeru, hukuman yang dikenakan terhadap pemain ini bagi pelanggaran-pelanggaran di atas secara keseluruhannya adalah penggantungan seumur hidup daripada terlibat dengan sebarang aktiviti bola sepak termasuk aktiviti-aktiviti pentadbiran, pengurusan dan kesukanan bola sepak serta aktiviti yang bersampingan dengannya di negara ini.

Pada masa yang sama, Yazan turut diberikan amaran keras dan hukuman yang lebih berat akan dikenakan jika mengulangi kesalahan yang sama. Akan tetapi, FAM memaklumkan keputusan ini boleh dirayu oleh Yazan.

Sebagai rekod, majikannya iaitu Selangor FC selepas daripada perlawanan tersebut telah membuat keputusan untuk menamatkan kontrak pertahanan berusia 27 tahun itu berkuat kuasa serta-merta (3 Oktober) selepas membuat siasatan dalaman.

Featured Image: Selangor FC

Komen