Ini Senarai 12 Pemain Terpilih Berlatih Bersama Kelab EPL
November 20, 2023 Hafizuddin Omar

Senarai pemain dari divisyen ketiga dan keempat bola sepak tanah air yang terpilih untuk berlatih bersama Wolverhampton Wanderers – pasukan yang beraksi dalam kancah Liga Perdana Inggeris (EPL) – diumumkan oleh Amateur Football League (AFL) pada hari ini.

Seramai 12 pemain terpilih selepas menjalani sesi pemilihan pada minggu lalu yang turut merangkumi dua pemain UiTM United FC – juara Al-Ikhsan Cup 2023 (Liga M4). Nama-nama pemain yang terpilih adalah seperti berikut:

  1. Muhamad Ikmal Mohd Idris – KL Rovers
  2. Muhamad Rafie Mat Yaacob – KL Rovers
  3. Muhammad Hazim Abu Zaid – Imigresen FC
  4. Muhammad Hazim Abu Zaid – Imigresen FC
  5. Izzat Abd. Rahim – PIB Shah Alam FC
  6. Shahrul Igwan Samsudin – PIB Shah Alam FC
  7. Muhamad Aizat Safuan Razali – Manjung City FC
  8. Wan Muhammad Izzat Wan Zaidi – Manjung City FC
  9. Muhammad Darwisy Abdullah – Malaysian University
  10. Muhammad Fathullah Fazilisham – Naga Ultimate KS FC
  11. Pengiran Mohamad Ilham – UiTM United
  12. Zikry Mohd Hafis – UiTM United

Kesemua pemain ini akan diterbangkan ke England sekitar penghujung Januari atau awal Februari nanti untuk menjalani latihan selama seminggu di Compton Park Training Ground bersama Wolverhampton Wanderers atau nama pendeknya, Wolves di bawah program “Dare To Dream” yang dijayakan oleh MBSB Bank selaku Penaja Rasmi Pertandingan MBSB Bank Championship 2023.

Ketika sesi pemilihan dan penilaian yang berlangsung pada minggu lalu, kesemua pemain perlu melepasi enam ujian (halangan) yang ditetapkan meliputi segala aspek bola sepak termasuk kepantasan, ketangkasan, kemahiran teknik serta simulasi perlawanan sebenar.

Sesi tersebut dikendalikan Pengurus Projek Antarabangsa Wolves, Joe Hunt; Jurulatih Bola Sepak & Pendidikan Wolves, Ryan Griffiths serta Jurulatih Pembangunan Bola Sepak Wolves, Cody Harper.

Untuk makluman, Wolves kendalian Gary O’Neil pada ketika ini sedang menghuni tangga ke-12 EPL mengharungi 12 perlawanan. Sebelum rehat antarabangsa FIFA, Wolves berjaya mengejutkan Tottenham Hotspur dengan keputusan 2-1 dalam perlawanan yang berlangsung di lamannya sendiri, Stadium Molineux, pada 11 November lalu.

Komen