Gandingan Goh Sze Fei dan Nur Izzuddin sekali lagi tersingkir di pusingan awal iaitu pusingan 32 dalam kejohanan yang disertainya – dua kali berturut-turut bermula kejohanan pada minggu lalu.
Kali ini penyingkiran itu berlaku ekoran tumpas di tangan beregu No.2 Jepun, Akira Koga dan Taichi Saito dalam pertarungan yang berlangsung di Gelanggang 1, Shenzhen Bay Gymnasium sebentar tadi.
Bagaimanapun, Sze Fei-Izzuddin tidak tersingkir mudah di tangan beregu yang menghuni ranking ke-16 dunia terbabit. Sze Fei-Izzuddin sempat memberikan cabaran sengit sehingga Koga-Saito terpaksa mengharungi 80 minit permainan sebelum mengesahkan permainan.
Bahkan dua set pertama berlanjutan sehingga ke mata “deuce” sebelum dimenangi oleh kedua-dua pasangan masing-masing.
Sze Fei-Izzuddin yang berada di ranking ke-24 dunia terlebih dahulu memenangi set pertama menerusi skor 23-21 sebelum Koga-Saito bangkit memenangi set kedua menerusi skor 24-22.
LI-NING China Masters 2023
MD – R32
🇯🇵Akira KOGA🏅
21 24 21 🇯🇵Taichi SAITO🏅
🇲🇾GOH Sze Fei
23 22 19 🇲🇾Nur IZZUDDIN🕚 in 80 minutes
— BWFScore (@BWFScore) November 21, 2023
Skor tersebut mengheret permainan ke set ketiga atau penentuan bagi mencari pemenangnya dan Koga-Saito berhasil menamatkannya menerusi skor 21-19 sekaligus menempah tiket kemaraan ke pusingan 16 bagi saingan Jelajah Dunia BWF bertaraf Super 750 ini.
Keputusan pada hari ini menjadikan Sze Fei-Izzuddin kini tewas tiga kali berturut-turut apabila berentap menentang Koga-Saito di pentas antarabangsa.
Sebelum ini, Sze Fei-Izzudin tumpas kedua-dua pertarungan bertemu lawan yang sama ketika beraksi di Terbuka New Zealand 2019 dan Spain Masters 2018.
Sementara itu, Koga-Saito yang melakar kemaraan ke pusingan 16 akan membuat perhitungan dengan beregu No.1 India, Satwiksairaj Rankireddy dan Chirag Shetty untuk merebut tempat ke peringkat suku akhir.
Untuk makluman, Satwiksairaj-Chirag menempah kemaraan ke pusingan 16 setelah berhasil menundukkan beregu England yang menghuni ranking ke-23 dunia, Ben Lane dan Sean Vendy secara “straight set” menerusi skor 21-13 dan 21-10 dalam tempoh 37 minit.
LI-NING China Masters 2023
MD – R32
🇮🇳Satwiksairaj RANKIREDDY🏅
21 21 🇮🇳Chirag SHETTY🏅
🏴Ben LANE
13 10 🏴Sean VENDY🕚 in 37 minutes
— BWFScore (@BWFScore) November 21, 2023
Featured Image: Badminton Association of Malaysia