Artikel

Park Hang-seo Sedia Bimbing Skuad Kebangsaan Thailand

Jurulatih kelahiran Korea yang berusia 66 tahun, Park Hang-seo bersedia untuk melatih seteru kepada bekas pasukannya di asia tenggara iaitu Thailand jika mendapat tawaran yang munasabah daripada badan induk bola sepak negara berkenaan.

Bekas ketua jurulatih skuad senior dan bawah 23 tahun (B-23) Vietnam ini bercakap mengenai perkara tersebut dalam temu bual secara atas talian bersama Think Curve – laman sesawang sukan berpangkalan di Thailand.

“Jika kamu mempunyai cadangan, sila hantar kepada ejen saya,”  kata jurulatih yang terkenal dengan panggilan Coach Park seperti dipetik daripada laman Vietnam Post English yang menterjemahkan temu bual tersebut.

“Saya bersedia untuk mempertimbangkannya, tetapi ianya mesti diluluskan oleh ejen saya sebelum dihantar kepada saya,” tambahnya lagi.

Lee Dong-jun yang merupakan ejen kepada Coach Park turut menambah, “jika pasukan Thai mempunyai tawaran, Coach Park sentiasa terbuka, tetapi merekalah yang perlu menawarkannya terlebih dahulu.”

“Selain itu, kedua-dua pihak mesti bersetuju dengan falsafah mereka, falsafah dan visi,” ujarnya.

Cakap-cakap mengenai Coach Park bersama Thailand memuncak apabila keyakinan terhadap ketua jurulatih sedia ada, Alexandre ‘Mano’ Polking kian menurun setelah skuad berjulukan Gajah Perang tumpas 1-2 di tangan China dalam perlawanan pertama Pusingan 2 Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027.

Dikhabarkan slogan “Anyone except Polking” bertebaran di forum-forum sukan serta ruangan komen daripada para peminat skuad bola sepak Thailand.

Pada ketika ini, Coach Park tidak melatih sebarang kelab atau pasukan – ejen bebas. Khidmatnya bersama Vietnam berakhir pada penghujung Januari lalu selepas lima tahun melatih skuad berjulukan Naga Emas bermula sekitar Oktober 2017.

Sepanjang tempoh itu, Coach Park telah memimpin skuad senior Vietnam untuk menjulang trofi kejuaraan Piala AFF yang pertama sejak 10 tahun serta mara ke peringkat suku akhir Piala Asia dan pusingan ketiga kelayakan Piala Dunia FIFA.

Tidak ketinggalan, Coach Park turut membawa Vietnam memasuki kelompok 100 pasukan terbaik dunia sejak tahun 2018 dan kedudukan itu kekal sehingga ke hari ini.

Bagi skuad B-23 pula, Coach Park telah menghadiahkan mereka dua pingat emas Sukan SEA, muncul naib juara Kejohanan Asia B-23 serta menamatkan temasya Sukan Asia di tempat keempat.

Featured Image: Football Association of Malaysia

komen