China Masters: Aaron-Wooi Yik Singkir Yew Sin-Ee Yi Di Pusingan 32
November 21, 2023 Hafizuddin Omar

Beregu lelaki No.1 tanah air, Aaron Chia dan Soh Wooi Yik berhasil memulakan kempen China Masters 2023 dengan langkah kanan sekaligus meneruskan kemaraan ke pusingan 16 Jelajah Dunia BWF bertaraf Super 750 itu.

Gandingan Aaron-Wooi Yik yang kini berada di ranking kedua dunia melakar kemaraan tersebut selepas memenangi pertembungan menentang rakan senegara merangkap beregu No.2 tanah air, Ong Yew Sin dan Teo Ee Yi.

Aaron-Wooi Yik memenangi pertembungan itu dengan mudah secara “straight set” menerusi skor 21-15 dan 21-15 dalam tempoh 33 minit yang berlangsung di Gelanggang 3, Shenzhen Bay Gymnasium.

Pada masa yang sama, keputusan tersebut menjadikan Aaron-Wooi Yik kini melakar kemenangan ketiga berturut-turut dalam tiga pertemuan terakhir mereka di pentas antarabangsa.

Secara keseluruhan, kedua-dua beregu tanah air ini telah bertembung sesama sendiri sebanyak lapan kali di pentas antarabangsa dimana enam daripadanya dimenangi oleh Aaron-Wooi Yik.

Sementara itu, Aaron-Wooi Yik yang diletakkan pilihan ketiga kejohanan ini akan berhadapan salah satu daripada beregu China samada Tan Qiang-Zhou Hao Dong (ranking 121) atau He Ji Ting-Ren Xiang Yu (ranking 74) di pusingan 16 kelak.

Featured Image: Perodua Malaysia Masters 2023

Komen