China Masters: Wei Chong-Kai Wun Ikut Jejak Langkah Aaron-Wooi Yik
November 21, 2023 Hafizuddin Omar

Tatkala dua beregu lelaki negara terpaksa akur terkandas di pusingan 32 saingan China Masters 2023, pasangan lelaki No.3 negara, Man Wei Chong dan Tee Kai Wun berjaya menuruti jejak langkah Aaron Chia dan Soh Wooi Yik mara ke pusingan berikutnya.

Gandingan pemain yang berusia 24 dan 23 tahun masing-masing ini mara selepas berjaya menundukkan lawannya, beregu Korea yang menduduki ranking ke-29 dunia iaitu Jin Yong dan Na Sung Seung.

Wei Chong-Kai Wun yang menghuni ranking ke-20 dunia memenangi pertemuan sulung menentang pasangan tersebut menerusi tiga set permainan yang berkesudahan dengan skor 21-11, 15-21 dan 21-17 dalam tempoh menghampiri satu jam.

Hasilnya, Wei Chong-Kai Wun berhasil meneruskan kemaraannya ke pusingan 16 bagi saingan Jelajah Dunia BWF bertaraf Super 750 ini.

Sementara itu, di peringkat tersebut, Wei Chong-Kai Wun akan berhadapan samada beregu tuan rumah yang diletakkan sebagai pilihan kelapan kejohanan, Liu Yu Chen dan Ou Xuan Yi atau beregu No.3 Indonesia, Shohibul Fikri dan Bagas Maulana di pusingan 16.

Berdasarkan rekod, Wei Chong-Kai Wun belum pernah turun berentap Yu Chen-Xuan Yi di pentas antarabangsa sekaligus menjadi yang pertama melibatkan kedua-dua pasangan sekiranya bertembung pada pusingan seterusnya. 

Manakala gandingan Shohibul-Bagas pula bukanlah tidak begitu asing buat Wei Chong-Kai Wun kerana telah berhadapan dengan mereka sebanyak tiga kali sebelum ini.

Bagaimanapun, rekod mereka cukup buruk apabila menentang wakil dari negara jiran tetangga itu dimana ketiga-tiga pertemuan tersebut berakhir dengan Wei Chong-Kai Wun mengalami kekalahan. 

Untuk makluman semua, seramai empat beregu lelaki negara menyertai saingan China Masters 2023. Gandingan Ong Yew Sin-Teo Ee Yi dan Goh Sze Fei-Nur Izzuddin terpaksa mengucapkan selamat tinggal kepada saingan ini selepas tewas di tangan lawan masing-masing pada pusingan 32.

Hanya Aaron-Wooi Yik sahaja berhasil melakar kemaraan ke pusingan 16 sebelum Wei Chong-Kai Wun mengikutinya selepas tamat perlawanan ini.

Featured Image: Perodua Malaysia Masters 2023

Komen