Kelayakan Piala Dunia 2026: Chinese Taipei Tumpas, Malaysia Kumpul 6 Mata
November 21, 2023 Hafizuddin Omar

Skuad bola sepak kebangsaan atau nama julukannya Harimau Malaya berjaya mengumpul enam mata daripada dua perlawanan awal peringkat Kumpulan D dalam aksi Pusingan 2 Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2017.

Harimau Malaya merealisasikan kutipan enam mata itu selepas berhasil menumpaskan Chinese Taipei dalam perlawanan kedua peringkat kumpulan yang berlangsung di Stadium Perbandaran Taipei, sebentar tadi.

Kemenangan 1-0 hasil jaringan tunggal pemain gantian, Darren Lok yang menjelma pada minit ke-72 sudah memadai buat anak-anak buah Kim Pan-gon untuk mengutip tiga mata yang kedua tersebut.

Chinese Taipei bimbingan Gary White ternyata tiada jawapan balas terhadap jaringan tersebut sehingga pengadil perlawanan dari Arab Saudi, Majed Mohammed Alshamrani meniup wisel menamatkan permainan.

Terdahulu, Harimau Malaya berhasil mengutip tiga mata yang pertama setelah melakar kemenangan dramatik 4-3 ke atas Republik Kyrgyzstan ketika beraksi di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) pada Khamis lalu.

Sementara itu, Chinese Taipei terpaksa menelan hakikat yang pahit apabila menyelesaikan dua perlawanan awal peringkat Kumpulan D ini tanpa sebarang jaringan serta kutipan mata.

Sebagai rekod, perlawanan pertama lalu, Chinese Taipei telah tumpas di tangan Oman di tempat lawan dengan keputusan 0-3.

Untuk perlawanan Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 yang seterusnya,, Harimau Malaya akan berhadapan Oman yang berada di ranking ke-72 dunia pada ketika ini pada bulan Mac tahun hadapan. 

Harimau Malaya dijadualkan berhadapan Oman di tempat lawan terlebih dahulu pada 21 Mac sebelum melayan kunjungan pasukan dari rantau asia barat itu di tempat sendiri selang lima hari kemudian.Featured Image:

Football Association of Malaysia

Komen